Saturday, December 27, 2008

PPSMI: Menyamakan PPSMI dengan hal bid'ah adalah tertolak
Ali Bukhari Amir
Sun | Dec 28, 08 | 1:57:31 am MYT
(Dengan sedikit suntingan..)

Salam perkenalan dan salam muhibbah buat saudara. Tertarik melihat saudara bersungguh-sungguh membantah pelaksanaan PPSMI. Saya bersetuju agar PPSMI tidak wajar dilaksanakan di sekolah-sekolah.

Namun, saya tidak sependapat dengan alasan saudara dalam mengatakan bahawa PPSMI itu tidak wajar dilaksanakan. Pada saya, isu bid'ah tidak patut dibangkitkan dalam hal ini. Bid'ah di dalam sistem pendidikan? Maaf mungkin saudara perlu kaji dengan lebih mendalam lagi.

Jika dilihat di IPT-IPT tempatan, banyak ilmu-ilmu yang tidak diajar dalam bahasa kepada pemilik bangsa. Tidak menjadi isu bid'ah bukan?

Saya tidak hadir di sini untuk 'argue' saudara dalam isu PPSMI ini, cuma saya berpendapat bahawa hal ini tidak wajar dicampurkan dengan urusan agama yang mana saudara seolah-olah cuba memberi fatwa.

Cuma, saya ingin mencurahkan pendapat mengapa saya katakan tidak setuju terhadap perlaksanaan PPSMI ini, hadith yang saudara kemukakan memang sesuai untuk digunakan hujah agar PPSMI tidak dilaksanakan. Namun saya lebih suka berpendapat secara logik akal (saya bukan golongan Muktazilah).

Mungkin saya kekurangan fakta, tapi jika dilihat kepada tujuan perlaksanaan PPSMI ini tidak silap saya adalah untuk melatih penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah.

Perbincangan meja bulat pihak kementerian, PIBG, pakar-pakar berkaitan meletakkan 7 pilihan bagi meneruskan PPSMI ini, keputusan yang cemerlang dalam UPSR dan SPM pula dibanggakan pihak tertentu kerana memuaskan dan pelaksanaan ini dikatakan berjaya.

Namun jika dilihat kembali kepada tujuan asalnya maka ia nyata tersasar. Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tetap tidak menunjukkan sebarang rangsangan melainkan mereka tahu beberapa istilah sahaja dalam BI.

Apa yang saya kesalkan ialah kerajaan tidak sepatutnya memanjangkan kajian ini dan buat keputusan secepatnya. Membuang masa, itulah yang boleh saya katakan kepada kementerian yang sibuk bercerita mengenai PPSMI sehingga ada pencinta bahasa yang akan mengambil tindakan undang-undang jika kementerian tegar untuk terus melaksanakan PPSMI.

Sebaliknya, pihak kementerian sepatutnya lebih cakna dan memberi perhatian berterusan terhadap perkembangan sekolah, kemudahan, pembinaan, kepadatan pelajar, kekurangan guru yang jauh lebih serius berbanding perkara ini.

Ariff Putra

Waalaikum salam..

Terima kasih atas kejujuran pandangan saudara itu. sebenarnya, kita sehaluan. Cuma berbeza pandangan dari sudut cara menentang PPSMI itu sendiri. Dalam kes ini, saya menarik kesimpulan mudah, iaitu penentangan itu terkait dengan isu bid'ah yang saya kemukakan dahulu.

Kupasan dan perbahasan mengenainya panjang juga. Nanti, lari daripada tajuk perbualan kita. Bid'ah adalah pintu ke arah kesesatan. Dan kesesatan melayakkan seseorang menuju ke neraka. Saya lari sekejap daripada membicarakan bid'ah dengan menarik kesimpulan mudah.

Mengikut mafhum sepotong hadith, jika saya tersalah dan tersilap, maka kesilapan saya dimaafkan dan saya berhak dapat satu pahala kerana berusaha mengeluarkan 'ijtihad' dan 'fatwa'. Sekiranya saya benar, maka saya mendapat dua pahala. Pertama, pahala kerana benar dalam ijtihad. Kedua, pahala kerana berusaha melahirkan fatwa dan ijtihad tersebut.

Tiada masalah jika saya bersalah. Ini kerana, pandangan saya tidak dijadikan rujukan dan sandaran sebagaimana PPSMI yang terpakai ke atas seluruh sekolah di Malaysia sehingga menyusahkan ke atas guru-guru dan murid-murid.

Mazhab yang menentang PPSMI
Ada banyak kaedah menentang. Mazhab pertama melihat PPSMI akan menyusahkan pelajar-pelajar sekolah. Maka, atas sebab ini PPSMI harus ditolak. Tapi, mazhab ini ada kelemahan.

Misalnya, kalau ada sekolah sudah mahir berbahasa Inggeris, ertinya, PPSMI bolehlah dilaksanakan. Maka, kementerian akan sentiasa ada ruang untuk memperalatkan mazhab ini untuk meneruskan dasar PPSMI. Kebanyakan orang awam, guru-guru dan murid-murid suka memegang aliran falsafah mazhab ini.

Kita namakan mazhab ini buat sementara waktu sebagai mazhab anti-PPSMI yang dipelopori oleh orang-orang awam.

Mazhab kedua lebih kukuh. Mazhab ini lazimnya dipelopori oleh pejuang bahasa, Kumpulan Prihatin, Gapena dan mereka yang terdiri daripada ahli undang-undang, cerdik pandai yang faham kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mazhab ini berkata, bahasa Melayu perlu dipertahan sebagai bahasa pengantar atas alasan, ia adalah maruah negara.

Syahadan, mazhab kedua ini berpendapat, kalau PPSMI berjaya sekali pun, misalnya keputusan peperiksaan baik walaupun BI dijadikan bahasa pengantar, maka PPSMI tetap wajib dibantah kerana dasar ini membabitkan maruah negara sekali gus mencalarkan Perlembagaan Persekutuan sebagai nadi tunjang, tulang belakang, dan asas pembinaan negara bangsa.

Kesimpulannya, inilah dua-dua mazhab yang mesti difahami untuk mereka yang mahu memahami asas-asas kenapa PPSMI itu wajib ditentang. Mazhab pertama sering dipakai oleh orang awam dan mazhab kedua diperlopori oleh ahli falsafah.

Mana mazhab agamawan membantah PPSMI?
Dalam mana-mana zaman, ada dua kelompok yang mendokong peradaban. Pertamanya, golongan falsafah yang turut digelarkan pendeta, cendekiawan, rausyan fikr (dalam bahasa Parsi), ahli fikir, pemikir dan sebagainya.

Mereka mengguna laluan akliah untuk mencari pencerahan tanwiri. Mereka penggerak 'enlightenment', pencari pencerahan kebenaran dalam simpang siur lebuh raya pemikiran.

Keduanya, golongan ahli agama, agamawan, mufti, ustaz, syeikh, paderi, Al-'Allaamah, sami dan lain-lain watak lagi. Golongan ini lazimnya menggunakan intuisi, pancaran ilham dan wahyu dalam menyuluh jalan untuk mencari kebenaran. Di dalam al-Qur'an, ayat-ayat ini mungkin boleh disandarkan sebagai rujukan ke atas kewujudan kedua-dua kelompok ini.

"..Dan demi sesungguhnya, engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani." Yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong." Surah al-Ma'idah: 82.

Dalam agama Kristian sendiri, dua golongan ini dipecahkan, iaitu qissisin (pendeta dan ahli falsafah) dan ruhban atau ahli agama, paderi-paderi.

"Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan 'orang-orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat." Al-Mujadilah: 11

Daripada nas di atas, orang yang beriman itu adalah merujuk kepada golongan yang punya hati, sementara orang-orang yang diberikan ilmu itu merujuk kepada golongan yang punya fikiran. Hati yang dipenuhi cahaya kebenaran itu merujuk kepada agamawan, sementara fikiran yang bergeliga untuk mencari pencerahan kebenaran itu merujuk kepada failasuf.

"..Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka al-Kitab dan Hikmah.. (Ali Imran: 164)

Kehadiran golongan al-Kitab (ahli agama) dan kaum al-Hikmah (ahli falsafah) adalah antara prasyarat utama dalam usaha membangunkan sesebuah peradaban itu. Titik.

Tapi, dalam soal PPSMI ini, di manakah suara agamawan itu? Ini suatu persoalan yang mungkin jarang-jarang difikirkan orang. Maka, berhubung hal bid'ah, itu adalah pandangan peribadi saya . Saya tidak risau dikritik. Pandangan itu jika disanggah sekali pun, tidaklah mendatangkan apa apa kesan ke atas PPSMI. PPSMI tetap berjalan seperti biasa.

Berhubung isu bid'ah dalam pemerintahan ini, saya pernah utarakan dalam ruangan Agama dalam Harakah Daily. Ia merujuk hadis pertama yang terangkum dalam 40 Hadis Mengenai Kiamat susunan Ustaz Fahmi Zam Zam al-Banjari.

Saya tersilap kerana tidak bekalkan nas-nas yang lengkap bagi tujuan menyokong pandangan itu. Tapi, jika ada permintaan atau saya rasa ada keperluan nanti, akan saya huraikan nanti insya Allah Ta'ala.

Sebenarnya, saudara, ada terselit kekecewaan peribadi saya ke atas golongan agamawan. Baiklah, selanjutnya, mari kita bertanya, PPSMI ini dibantah oleh golongan semacam apa?

Sasterawan, ahli-ahli bahasa, guru-guru, pensyarah universiti, pelajar dan beberapa kumpulan yang lain. Ini kelompok yang tampak aktif melawan PPSMI.

Soalan kedua, adakah kita pernah mendengar setakat ini, khutbah-khutbah Jumaat yang menyuarakan bantahan PPSMI ini? Bolehkah kita senaraikan masjid-masjid yang berkhutbah membantah PPSMI ini pada hari Jumaat secara terus-menerus?

Maaf kalau memang ada masjid yang membantah PPSMI. Tapi, sejauh yang saya tahu, tiada langsung agaknya! Mana perginya suara ustaz-ustaz itu? Di manakah pendirian agamawan, mufti kita dalam hal ini? Khalayak mahu tahu, apakah pendirian agama Islam berhubung hal pengajaran dan pembelajaran dalam suatu bahasa yang bukan bahasa ibunda.

Saya tertanya-tanya di manakah suara ahli-ahli agama ketika pelajar guru, pensyarah, ahli bahasa, sasterawan sedang bertungkus-lumus menyiapkan senjata fakta, memikul data untuk membantah PPSMI ini?

Orang macam saya tertanya-tanya apa hukum PPSMI ini? Haruskah? Mubah? Sunat? Makruh atau bid'ah? Selalunya, lafaz ini yang terkait dengan lafaz seorang agamawan, iaitu wajib, sunat, harus, mubah, bid'ah dan sebagainya. Jadi, di manakah fatwanya? Mungkin hukumnya bukan bid'ah. Barangkali ada pecahan mazhab yang menyatakan PPSMI itu makruh atau haram.

Kalau pun ada agamawan yang memfatwakan PPSMI itu hukumnya WAJIB atau SUNAT MUAKKAD, mungkin itu fatwa agamawan Umno, fatwa ulamak as-su' yang menagih darjat, pangkat dan bintang kehormatan daripada kuasa eksekutif.

Agamawan pernah bersuara dalam isu Pendidikan Seks
Pada satu ketika dahulu, kita terdengar bantahan agamawan ke atas Pendidikan Seks yang nak diajar di sekolah-sekolah. Tetapi, ketika PPSMI mahu diterapkan, di manakah fatwa, suara dan pendirian agama dan agamawan?

Adakah hubungan dunia pendidikan sudah terasing daripada urusan akhirat? Tampaknya lingakaran sekular yang memisahkan agama daripada juzuk keduniaan ternyata masih membekas di hati kita.

Maka rasa-rasanya perlu digerakkan agamawan untuk bersekali dalam gerakan membantah PPSMI ini. Khutbah-khutbah Jumaat perlu dengan lebih garang menyerang PPSMI.

Sengaja saya selitkan unsur-unsur agama seperti bid'ah ini. Mana tahu kalau-kalau ada yang menegur, khasnya agamawan. Ternyata saudara dengan jujur telah bersuara. Saya tahu, mesti ada yang marah dengan cara menulis begini. Tapi, dalam isu-isu begini, kita terpaksa serius berkontra demi kesejahteraan umat seluruhnya.

Berterus-terang sangat pahit. Tapi, pahit itulah penawarnya. Dalam hal PPSMI ini, saya ada masalah dengan agamawan.

Baguslah saudara terdorong bertanya tentang hal-ehwal bid'ah ini. Saya percaya suara saudara itu sebenarnya titipan Allah juga untuk membetulkan saya jika saya tersasar. Ini kerana, saya berjanji bahawa saya tidak akan melebarkan bahasan ini jika tiada orang yang akan kembali membangkitkan soal bid'ah ini.

Memang dalam universiti, kuliah-kuliah tertentu di UIAM misalnya, saya pernah melihat pengajaran itu dilakukan dalam bahasa Arab dan ada juga yang disampaikan dalam bahasa Inggeris.

Menurut hemat saya, sikap dan pendirian ini bukanlah keputusan menyeluruh. Ia cuma kes-kes istimewa, bersifat terpencil yang melibatkan juzuk-juzuk terkecil di universiti tertentu atas keperluan-keperluan istimewa yang hanya terhad di universiti itu sahaja.

Pengajaran agama dan ilmu-ilmu lain dalam bahasa Arab dan Inggeris di kuliah tertentu atas sebab kedua-dua bahasa itu difahami oleh pelajar-pelajar antarabangsa tak termasuk dalam kategori bid'ah.

Bayangkan, dalam kuliah yang memuatkan para pelajar Timur Tengah, Bosnia, Iran, Arab Saudi, Nigeria dan lain-lain, adakah bahasa Melayu difahami siswa itu? Maka, bahasa Arab dan Inggeris itulah dua jenis bahasa yang dianggap mampu difahami oleh semua siswanya.

Tetapi, dalam keadaan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kita yang rata-ratanya bangsa Melayu dan faham di dalam bahasa Melayu, kenapakah tergamak para pemimpin kita meminta anak-anak bangsa mempelajari kedua-dua ilmu ini di dalam bahasa yang bukan bahasa ibunda mereka? Aneh.. tak masuk akal bukan?

"Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia (Rasul) menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.." (Ibrahim: 4)

Nas di atas inilah yang menunjukkan bahawa, berdasarkan fitrah kejadian, atau sunnatullah yang kemudian telah menjadi sunnah di dalam pemerintahan Rasulullah s.a.w (dalam urusan berdakwah), ajaran Islam ini disampaikan menurut bahasa sesuatu kaum itu.

Para sahabat dikirim ke China sehingga wafat di sana. Adakah sahabat nabi itu mengajar Islam dalam bahasa Arab? Ada kemungkinan besar para sahabat ini menguasai bahasa Cina untuk melancarkan dakwah mereka itu.

Jika rasul-rasul diturunkan dalam bahasa kaumnya untuk memudahkan kaum itu memahami ajaran Tuhan, maka dalam kiasan yang sama, segala ilmu warisan pusaka termasuk Sains dan Matematik ini sepatutnya diajar dalam bahasa kaum itu juga. Inilah sunnatullah, inilah sunnah, inilah sikap asal Tuhan, inilah amalan para nabi.

Yang bercanggah daripada jalan ini, adalah bid'ah adanya. Sekian penjelasan saya yang mungkin ada kelemahan di sana sini. Bagaimanapun, saya jujur ketika memutarkan pandangan ini.

Mana fatwa, mana khutbah Jumaat menyelar PPSMI?
Saudara Ariff Putra..

Syahadan, ternyata saudara adalah salah seorang intan terpilih yang digerakkan hati dalam hal ini, sehingga mendorong saya membangkitkan pertanyaan yang telah lama saya nantikan - Di mana suara agamawan? Di mana fatwa tentang PPSMI? Di mana khutbah Jumaat yang menyelar PPSMI?

Semoga ada kalangan agamawan yang sudi memberikan maklumbalas, dan akhirnya mereka serius bergerak bersama, menuju ke arah bantahan ke atas PPSMI ini.

Sekian, segala yang baik itu daripada Allah, yang buruk terbit daripada PPSMI, iaitu suatu dasar oleh Kementerian Pelajaran (warisan Tun Dr Mahathir) yang menjahanamkan anak bangsa kita hari ini.

Lain-lain pautan..

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18500&Itemid=1

http://prihatin.net/index.php?option=com_content&view=article&id=105:klinik-bahasa-jawapan-terhadap-isu-ppsmi&catid=11:suara-generasi-muda&Itemid=13

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18377&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18381&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18382&Itemid=50

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18402&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18448&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18451&Itemid=1

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18488&Itemid=50

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18489&Itemid=1

http://bmppsmi.blogspot.com

1:41 a.m, 28 Disember
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Segala bantahan dan saranan ke atas PPSMI boleh dimajukan melalui ibnuamir@yahoo.com.

2 comments:

Leenoh said...

Assalamualaikum.

Saya rasa dalam hal ini tidak perlulah kita kelaskan sebagai kumpulan agamawan atau tidak agamawan, lagi pun istilah itu tidak tepat kerana Islam itu adalah suatu cara hidup bukan suatu agama seperti agama lain, bagi saya istilah agamawan tidak sesuai, ianya sama seperti nama bagi Sek.Men.Agama........, adakah semua agama diajar atau dipelajari di sekolah tersebut atau nama seperti Pejabat Agama, adakah masalah semua agama diurus di situ. Maksud saya sebutan perlu disempurnakan.

Berbalik kepada penglibatan dalam usaha untuk memberhentikan PPSMI ini biarlah semua kalangan penyokong berada di dalam gagasan yang sama tanpa dikelaskan kerana kalau disebut guru bukankah di sana termasuk ustaz.Untuk kekuatan perlu disatukan jangan dipecahkan.

Bagi saya sokongan dari pendidik adalah amat penting kerana mereka berada di medannya.Pihak pendidik menegaskan bahawa kalau hendak anak-anak kita pandai bahasa Inggeris, ajarlah melalui subjek bahasa Inggeris, usahalah di sana dan jangan ganggu subjek yang lain dan jangan ganggu bahasa Melayu merentas kurikulum.

Wallahu aklam. Wassalam.

nota untuk Syiah said...

w'salam..

terima kasih encik Leenoh atas pandangan itu. Saya sendiri mengerti kritikan di atas agak keras ke atas kelompok ustaz-ustaz.

Di Malaysia, pandangan ahli politik dan ahli agama sangat berpengaruh klu nak dibandingkan dgn pendapat pensyarah universiti yang tidak popular.

Tiba-tiba, Mufti Perak kata Jom Heboh HARAM. Kita boleh nampak kesannya. Tiba-tiba, Mufti Perlis ulas isu tertentu. Kita nampak apa kesannya ke atas pemikiran masyarakat.

Yang saya nak sampaikan di sini, kata-kata ulamak, mufti, ustaz ini amat berpengaruh. Tapi, dalam isu PPSMI ini, mereka diam sahaja. Klu bersuara, rasanya tidak jelas sgt suara mereka membantah PPSMI.

Mungkin ada kalangan mereka yang bantah, cuma barangkali tak jelas sangat pendirian mereka agaknya.

Demikian juga kenyataan ahli politik. Dengan tiba-tiba ia akan jadi kontroversi dan heboh dibincangkan di dada akhbar.

Isu kedua.. berhubung penggunaan istilah 'agamawan'. Dahulu, saya kerap menggunakan istilah ulamak.

Akhir2 ini saya rasakan ia tidak lagi sesuai kerana ungkapan itu terlalu tinggi. Al-Quran menyebut bahawa ulamak itu hanya takutkan Allah dan bukan kepada selainnya.

Bermaksud, ulamak berani berkata benar, demikian maksud yang mudah dan jelas untuk kita bincangkan secara ringkas.

Adakah mufti, atau mereka yang kita gelar sebagai ulamak hari ini berani menyatakan yang benar termasuk dalam isu membantah PPSMI ini?

Saya tak fikir mereka berani. Jadi saya panggil mereka sebagai ulamak juga kerana atas sudut BAHASA tapi dari segi ISTILAH, mereka tak capai martabat itu.

Kalau masyarakat intelektuan boleh buat seminar pemikiran Usman Awang atau seminar pemikiran A Samad Ismail, kenapa agamawan (ulamak) kita tak buat seminar pemikiran Saidina Ali, seminar pemikiran Saidinia Umar?

Antara 4 sahabat teragung, saya lebih kagum dan mahu fokus kepada pola pemikiran Umar dan Ali dalam bidang ijtihad, politik, fiqah dan dakwah. Nampaknya, agamawan kita tidak berusaha keras ke arah mencerdaskan dan mencerahkan fikrah umat untuk mengesan semula sejumlah besar peninggalan sahabat ini dalam bidang pemikiran.

Maaf, banyak betul saya kritik ulamak akhir2 ini dalam tulisan saya ini. Tapi, saya jujur untuk mengkritik demi pembangunan fikrah dan bertujuan mahu membantu mereka juga. Mungkin mereka marah dengan saya, tapi itulah niat suci saya.

Berhubung pandangan tuan dalam hal-hal lain mengenai AGAMAWAN, itu saya boleh menerima. Mungkin tuan ada alasan dan cara berfikir tuan yang tersendiri.

Saya hormati cara berfikir tuan itu.

Sekian, terima kasih banyak-banyak di atas maklumbalas tuan yang amat bermanfaat kepada saya khasnya dlm usaha pencerdasan umat.

Sekali lagi, jutaan terima kasih.