Monday, February 23, 2009

PPSMI: Tun Mahathir.. bertaubatlah sebelum 'wafat'
Ali Bukhari Amir
Kepada Pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana Tun Dr Mahathir Mohamad. Salam sejahtera dan semoga sihat sahaja. Saya menulis surat kepada Tun kerana ada banyak hal yang kita perlu muhasabahkan bersama. Sebagai umat Islam yang mengaku menjadi umat Muhammad s.a.w, kita mestilah sentiasa memperbaharui taubat.
Sebagai umat Islam yang mengaku menjadi umat Muhammad s.a.w, kita mestilah sentiasa memperbaharui taubat.

Saya menyeru diri saya sendiri termasuk Tun dan kepimpinan Melayu Umno dulu, kini dan selama untuk sama-sama bermuhasabah mengenai sejauhmanakah kita telah berusaha memperbaiki taraf hidup Melayu, Muslim dan bangsa Malaysia seluruhnya.

Mutakhir ini, kita melihat keadaan yang membimbangkan. Khir Toyo mula menyerang Elizabeth Wong dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Saya dapat menghidu semua ini. Selepas kes Eli, maka gambar mereka berdua disiarkan di Agenda Daily. Memang tepat.. Khir Toyo akhirnya menyerang Khalid pula.

Rakyat tahu bahawa saat menjelangnya Perhimpunan Agung Umno, Khir Toyo cuba menonjolkan dirinya sebagai 'bakal' Ketua Pemuda dengan cara menunjukkan kejaguhan beliau menghentam parti lawan.

Walhal, apa salahnya mengorbankan lembu-lembu untuk rakyat. Beliau mengelak daripada memandu kereta rasmi, sebaliknya menggunakan kereta sendiri. Apa salahnya menggunakan peruntukan itu untuk 'maintenance' kereta peribadinya sendiri?

Kalau watak Khir soleh dan warak sangat, tanya semula anak-anak Selangor di Al-Azhar dan Timur Tengah yang terpaksa mengikat perut kerana sukar mendapat peruntukan wang zakat. Banyak betul kalau kita mahu bahaskan hal-hal hipokrit manusia yang bergelar pemimpin ini.

Rakyat tahu, pemimpin Umno rasa cemburu dan iri hati dengan kemenangan Pakatan Rakyat. Hal ini terpaksalah diakui oleh Khir sendiri. Siapa suruh beliau menghadiahkan penyapu kepada salah seorang kakitangan bawahannya?
Wanita-wanita yang teraniaya
Sejarah menunjukkan, sesiapa yang menganiayai wanita-wanita di dalam sesebuah negeri, maka kerajaan mereka bakal diterbalikkan oleh Tuhan.

Kita sama-sama anak Kedah. Langkawi bukan asing kepada kita. Pulau itu pernah ditimpa musibah akibat menghukum Mahsuri tanpa proses keadilan yang benar-benar telus. Sebelum meninggal dunia, Mahsuri bersumpah: "Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan!"

Doa orang yang teraniaya, khasnya wanita itu jangan kita buat main. Tidak lama sesudah itu, Langkawi diserang dan dilanggar dengan kejamnya.

Anak perempuan Sang Rajuna Tapa dibunuh sultan tanpa diteliti dosa-dosanya, isteri Laksamana Bentan Megat Seri Rama dibunuh cuma kerana mengidam buah nangka raja. Semua ini contoh-contoh klasik.

Bagaimana pula dengan contoh-contoh moderen dan pasca-moderen berhubung kaum wanita yang terbunuh tanpa keadilan ini?

Wanita berdoa menggunakan hati dan perasaan. Kaum Adam menggunakan pemikiran. Sebab itulah doa kaum wanita lebih mudah dimakbulkan Tuhan. Marilah kita lihat dan bermuhasabah, sudah berapa ramaikah wanita-wanita yang terbunuh di dalam negara kita mutakhir ini.

Kita mungkin terlupa nama Mustakizah. Contoh popular ialah Altantuya of Mongolia. Tunggulah azab Tuhan. Najib masih belum menerima pembalasan.

Tapi, mereka ini semuanya dilantik dan terangkat ketika tuan menjadi Perdana Menteri. Tun juga mesti bertanggungjawab termasuk rakyat yang mengangkat Najib melalui undi-undi mereka.

Keadilan sukar ditegakkan bagi kes-kes ini. Mereka sedang ghairah di puncak kekuasaan. Jadi, sebelum kita menyeru anak-anak didik kita bermuhasabah, marilah kita bermuhasabah mengenai hal-hal yang sedikit ringan. Apa kata Tun, untuk kali yang pertamanya, kita berbicara mengenai isu PPSMI ini?

Menjadi amalan khalifah terdahulu, mereka kerap bermuhasabah. Tapi, dalam realiti sekarang.. akhbar-akhbar boleh juga menjadi saluran, sumber peringatan kepada sang pemimpin untuk kembali membetulkan kesilapan mereka.

Hari kematian Tun makin hampir
Tiada siapa yang dapat menduga ajal seseorang. Mungkin Tun akan meninggal dunia esok, lusa, minggu ini, minggu depan, bulan ini atau bulan depan. Kita tidak tahu bilakah maut datang menjemput.

Dan, saya juga risau, jika usia muda saya direnggut sekarang, maka tidak sempatlah saya sampaikan peringatan kepada tuan berhubung maksud kehadiran surat ini.

Maka, sebelum terlambat.. Saya rasa perlulah saya menyampaikan peringatan kepada Tun berhubung isu-isu yang pernah Tun lakukan sepanjang pemerintahan sebelum ini.

Kalau mahu disentuh semua, tentulah panjang berjela. Maka, saya memilih satu perkara sahaja yang rasanya perlulah Tun lakukan sebelum Tun meninggal dunia.

Hal itu berkaitan dengan PPSMI. Umum diketahui bahawa Tun adalah pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini. Jadi, saya dan rakan-rakan amat berharap supaya Tun dapat segera betulkan hal ini melalui kenyataan-kenyataan Tun. Jangan sampai murid-murid dan guru-guru sekolah kita menderita dengan sebab PPSMI ini.

Roh Tun di alam barzakh kelak akan terseksa dengan sebab PPSMI ini. Dasar ini telah banyak memenatkan mereka. Pada era penjajahan, sememangnya keseluruhan murid-murid pada zaman itu terpaksa belajar dengan menggunakan bahasa Inggeris.
Sebenarnya, mereka pun bermasalah dengan matapelajaran mereka itu. Tapi, apabila ditinjau semula, kita masih boleh menerima keadaan tersebut kerana kita belum merdeka sepenuhnya.

Kini.. selepas merdeka, kebanyakan guru, murid-murid dan setiap anggota masyarakat kita tidak dapat menerima dasar tersebut. Dasar ini telah menyusahkan mereka. Di sini, kalau Tun enggan membantah PPSMI, maka padah akan menimpa roh Tun kelak setelah kematian Tun nanti.

Setiap kali mereka merungut dengan sebab kesusahan ini, maka roh Tun akan terseksa mendengar kutukan dan kecaman mereka ke atas Tun. Sekurang-kurangnya, Tun perlu mengeluarkan kenyataan membantah PPSMI ini. Tiada salahnya..

Kenapa dahulu, Tun boleh keluarkan kenyataan bahawa Auku sudah tidak lagi diperlukan, dan sekarang tidak boleh keluarkan pandangan membantah PPSMI? Sedangkan kedua-duanya; Auku dan PPSMI adalah produk dasar yang diperkenalkan melalui gagasan Tun.

Usia Tun sudah lanjut dan hampir menuju ke alam barzakh. Banyak betul yang perlu Tun perbetulkan segera. Saya dan rakan-rakan cuma meminta agar Tun dapat berikan kenyataan kepada kerajaan supaya PPSMI itu ditarik balik pelaksanaannya.

Itu saja. Kami tidak minta lebih-lebih. Sementara waktu yang masih tersisa ini, manfaatkanlah segala waktu dengan membanyakkan muhasabah.

Umno berjiwa Inggeris?
Arakian.. baru-baru ini, saya membeli buku Memoir Shamsiah Fakeh. Termuat di dalamnya beberapa pandangan berhubung perbezaan antara Umno dan PKMM.

Menarik juga sesekali diselak jendela pemikiran watak-watak Melayu berhaluan kiri. Pandangan beliau mengenai Umno adalah seperti berikut:-

Sewaktu aku berada di Kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, aku sering ikut dalam pertemuan yang dianjurkan oleh Umno iaitu kependekan dari bahasa Inggeris, United Malaya National Organization.

Sebenarnya dalam bahasa Melayunya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau singkatannya Pekembar, tetapi pertubuhan ini lebih suka memakai nama Umno. Seterusnya, nama Umno saja yang digunakan sehingga sekarang.

Tun.. Nampak kelihatan jelas di sini bagaimana Shamsiah Fakeh tidak senang dengan sikap Umno yang mengenepikan nama pertubuhan Pekembar, bahasa Melayunya sendiri. Pemakaian nama Umno itu sendiri menunjukkan bagaimana Umno terjajah dengan mudahnya daripada sudut pemikiran mereka.

Oh ya Tun..sekarang jam 10:15 malam. Kebetulan ketika sedang menaip kepada Tun ini, mesin faks di tepi saya sedang mencetak surat cabaran daripada Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub kepada Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein. Saya catit sedikit kenyataan yang tertera di dalam surat tersebut..

"Saya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini mengemukakan cabaran untuk berdebat dengan YB Dato' Seri sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

"Saya menyerahkan pemilihan tarikh, tempat dan masa yang sesuai kepada pihak YB Dato' Seri dan mencadangkan supaya ianya disiarkan secara langsung di mana-mana saluran televisyen untuk membolehkan rakyat mengadilinya.

"Saya berharap YB Dato' Seri dapat memberikan jawapan dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini."

Tamat isi surat. Tapi, menurut Tun, adakah Hishammuddin itu boleh berdebat? Saya tidak fikir beliau berani. Seorang ahli remaja Putera Umno pernah memberitahu saya tentang sikap Hishammuddin ketika beraksi di atas pentas sebelum berucap dalam Perhimpunan Agung Umno dahulu.

"Dato' Hishammuddin upah budak-budak untuk tepuk tangan kepadanya ketika dia mahu naik ke pentas untuk berucap," kata ahli Putera Umno tersebut.

Bermakna, Dato' Hishammuddin sendiri sedar bahawa beliau tiada sokongan akar-umbi ke atas dirinya sendiri, sehinggakan beliau terpaksa 'mengupah' orang-orang tertentu untuk bertepuk tangan apabila dia sedang berucap.

Sebab itu, saya yakin bahawa cabaran Salahuddin Ayub yang baru saya taip kepada Tun ini tidak akan disambut oleh Hishammuddin. Saya lebih yakin kepada Tun untuk mempertahan PPSMI itu sendiri. Tun mungkin tidak lari.

Sebaliknya, Hishammuddin akan mencari helah nanti. Kalau tak percaya, tengoklah selepas ini. Bukannya mudah Kumpulan Prihatin mahu menyusun pertemuan dengan Hishammuddin.

"Pembantu Hishammuddin akan selalu cakap bahawa jadual menteri tu dah penuh," kata seorang penggiat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). "Jadi, kami tak dapat ruang untuk turut berbincang dengan Hishammuddin berhubung isu PPSMI ini."

Kemudian, apabila GMP mengajak orang-ramai pakat-pakat turun ke jalan raya, Hishammuddin, Naina Merican GPMS dan juak-juaknya mula menyusun ayat-ayat klise, "Kenapa harus turun ke jalanan. Marilah berbincang secara elok-elok."
Apa Tun rasa kalau Tun berada di tempat saya? Memang mulut dan hati saya jadi jahat dan panas baran tatkala mendengar perkataan seumpama ini. Nak maki, mencarut pun ada.

Tapi, itulah ujian dan dugaan dalam perjuangan ini. Saya memang panas baran. Mamalialah katakan. Lagi pun saya orang muda yang memang disifatkan sebagai 'angry young man; (tetapi sedikit berjiwa romantis).

Saya yakin Hishammuddin akan mengelak pertembungan dengan Salahuddin Ayub. Sehingga surat ini ditulis, saya tidak tahu adakah Tun mahu bermuhasabah terhadap keburukan PPSMI atau masih lagi mahu memperjuang dasar tersebut.

Jika Tun mahu menebus kesilapan, maka saya syor Tun menggantikan tempat Salahuddin dan betulkan semula Hishammuddin (itu pun kalau Hishammuddin berani sahut cabaran Salahuddin).

Tapi, jika Tun tetap tegar pendirian dalam mempertahan PPSMI, maka saya ada syor lain pula.

Antara ramai-ramai Menteri Pelajaran Umno, selain Tun dan Hishammuddin, Tun Abdul Rahman Yaakob adalah sosok yang begitu istiqamah menentang PPSMI.

Jadi, jika debat antara Hishammuddin dan Salahuddin itu terbatal, tertangguh atau ditunda, maka ruang kekosongan itu mungkin boleh diisikan dengan debat antara Tun dengan Tun Abdul Rahman Yaakob. Ini berlaku jika Tun masih lagi tegar mempertahan PPSMI.

Soalan cepu saya kepada Tun, beranikah Tun berdebat dengan Tun Abdul Rahman Yaakob berhubung isu PPSMI itu?

Sekian Tun.. Tun buatlah keputusan dengan bijaksana dan penuh waspada. Jika Tun insaf dengan kesilapan Tun dalam memperkenal PPSMI, maka saya minta Tun dapat menasihati Abdullah Ahmad Badawi, Hishammuddin dan kelompok mereka agar segera memansuhkan PPSMI itu.

Tapi, jika Tun masih tegar dengan pendirian Tun, bahawa PPSMI ini suatu tindakan yang sah, betul dan wajar, maka saya mencabar Tun berdebat dengan mantan Menteri Pelajaran, Tun Abdul Rahman Yaakob sebelum menjelangnya kematian Tun, sebelum ajal datang menyambar maut.

Kalau Tun bijaksana dalam bermuhasabah, bermula hari Tun membaca surat ini, maka hendaklah Tun melakukan solat sunat istikharah, memohon petunjuk kepada Allah untuk mendapatkan petunjuk yang tepat tentang bagaimana yang seharusnya Tun lakukan selepas ini.

Saya berwasiat begini, kerana usia dan hayat tempoh Tun akan berakhir tidak lama lagi. Mungkin juga hayat dan tempoh hayat saya juga tak panjang. Soalnya, yang paling penting.. adakah kita bersedia bertemu Tuhan di Padang Mahsyar kelak untuk bersoal jawab dengan Tuhan berhubung isu PPSMI ini?

Malam ini juga, di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, telah berhimpun segala pimpinan Pakatan Rakyat dalam meratibkan jiwa sengsara rakyat dalam isu PPSMI ini. Dan mereka telah berusaha keras untuk memansuhkan PPSMI.

Harap Tun membuat keputusan dengan bijaksana sebelum ajal Tun menjelang tiba tidak berapa lama lagi.

Syahadan.. Tun, berjuanglah bersama kami.. Mansuhkan PPSMI!

10:57 p.m, 23 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Syor, kritikan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.

Sunday, February 15, 2009

PPSMI: Suatu malam di Rumah Gapena

Ali Bukhari Amir
Sat | Feb 14, 09 | 11:59:24 pm MYT

Ketika mengarang ini, saya baru pulang dari Rumah Gapena kerana menghadiri acara baca puisi sempena membantah dan memansuhkan PPSMI. Petang tadi, En Razali Endun mengajak saya ke sana. Jadi, saya cuma mengikut sahaja panduan.

Dato' Zainal Abidin Borhan di dalam ucapan aluannya berkata, bahawa antara tujuan kenapa tarikh 15 Februari dipilih sebagai tarikh gerakan besar-besaran itu bermula adalah kerana tarikh itu mewakili angka Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Tarikh ini adalah lambang kepada semangat untuk memperjuang fasal 152. Sebab itulah, kami pernah bergurau dengan Dewan Perniagaan Melayu baru-baru ini, adakah badan itu mahu menjadikan 15 Mac sebagai tarikh memperjuang Fasal 153 pula?" kata beliau.

Beberapa orang penyair lama telah mendeklamasikan sajak-sajak mereka dengan ucaspan liar berkobar-kobar. Antara mereka itu, Rejab F. I, pelakon Khalid Salleh, pengarah filem Mat London, Rahimidin Zahari, Sutung Umar RS termasuk beberapa orang lagi yang tak dapat ditulis di sini.

Mesyuarat sejak 4 petang tadi
Mereka bermesyuarat sejak petang tadi, jam 4 petang kerana mahu memutuskan beberapa perkara yang tidak dapat dipastikan lagi. Apa pun, acara pada keesokan paginya bermula dengan ceramah perlembagaan oleh Tan Sri Abdul Aziz diikuti dengan laporan polis.

Mungkin Gapena benar-benar mahu buktikan kepada orang ramai bahawa mereka serius, bulat, dan tekad dengan ketetapan lalu, iaitu mereka mahu menyaman pihak kerajaan.

"Kalau betul Gapena nak saman kerajaan, saya rasa kita terlupa satu perkara yang penting juga. Iaitu dalam kad pengenalan, tak ditulis bangsa Melayu," kata Khalid Salleh sebelum membacakan puisinya yang panjang.

"Kita tahu bahawa hidup mati sesuatu bangsa itu mesti ada perang dan 'fight'. Di Palestin, ada 'fight' untuk teruskan hidup mereka," kata Khalid lagi. "Tapi, bangsa Melayu kita dah mati tanpa ada sebarang 'fight'. "

Mat London atau nama penuhnya Ahmad Ibrahim sebelum membacakan gurindam yang dipuisikan, berkata bahawa pada malam ini, beliau benar-benar berasakan bahawa beliau berada di tengah-tengah masyarakat Melayu.

"Melayu bukan sekadar hidung, mata dan luarannya. Malah Melayu itu melibatkan aspek dalamannya," kata beliau. Sejauhmana golongan pelakon dan pengarah ini dapat luahkan daya kreativiti mereka lewat filem, lakonan dan skrip, hal itu masih belum teruji.

Namun, saya pernah melihat suatu babak dalam filem Sesudah Subuh, arahan P. Ramlee pada 1966 yang menyelitkan beberapa dialog berhubung betapa perlunya bangsa majmuk ini menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui percakapan seharian mereka. Sekitar 1960-an, seruan mengenai bahasa itu memang jelas kedengaran.

Sanggahan liar
Sebagai biasa, pertemuan penyair-penyair ini memang tidak sah jika tidak dihiasi dengan riuh-rendah berhubung kepenggunaan ungkapan-ungkapan kata-kata kesat terhadap pihak yang mempertahan PPSMI, khasnya bagi pihak penguasa.

Babi, setan, pemimpin hari ini adalah Melayu Yahudi Zionis dan pelbagai ungkapan lagi. Alangkah 'indahnya' jika semua paparan ucapan kata-kata itu dirangkumkan semuanya di dalam YouTube untuk tatapan khalayak umum.

Takdirnya.. jika terjadi 'chaos' dengan sebab ucapan itu, barulah kisah-kisah pertentangan dan usaha pemansuhan PPSMI ini akan menjadi lebih meriah dan dramatik!

Maka, firman Tuhan ke atas Nabi Musa ketika mahu berdepan dengan Firaun, "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan perkataan yang lemah-lembut, semoga dia ingat atau takut." --- (Taha, ayat 44)

Mahathir pun sedar PPSMI suatu kesilapan?
Tapi, apa yang lebih menarik perhatian saya ialah kenyataan seorang teman mengenai hal ucapan Tun Dr Mahathir di Rumah Gapena itu berhubung isu PPSMI itu. Tarikhnya tidak dapat dipastikan lagi kesahihannya. Barangkali ucapan itu berlaku dalam Disember.

"Tidak dapat nak pastikan tarikhnya. Mungkin Gapena masih simpan pita rakaman suara yang boleh awak rujuk," kata seorang teman yang baru saya kenal baru-baru ini.

"Apa Tun Mahathir cakap?" tanya saya kembali, meminta penjelasan.

"Yang saya tahu, Tun Mahathir pun kata dia sedar bahawa dasar PPSMI yang dia buat itu tak betul. Tapi, oleh kerana dah dibuat..jadi dia (Tun Mahathir) kata teruskan sajalah. Tak payah hentikan," kata beliau.

Sementara itu, ada riwayat yang menyebutkan bahawa PPSMI tak dapat dihentikan sebab peruntukan untuk mencetak buku teks dan segala kelengkapannya telah disiapkan.

Apakah benar.. Tun Mahathir pernah ungkapkan hal kesilapannya dalam PPSMI itu? Jika ada, tentulah Gapena akan mendedahkan hal tersebut. Teka-teki ini belum terjawab.

Jikalau Tun Mahathir pernah dedahkan bahawa sikapnya memecat dan membuang Anwar itu adalah batil, maka tidak mustahil beliau pernah mengungkapkan hal yang sama. Iaitu, kemungkinan beliau mengakui kesilapannya selama ini berhubung isu PPSMI.

Manalah tahu. Tetapi hal ini boleh disiasat dengan lebih lanjut jika ada pita rakaman yang boleh mengesahkan hal yang berkenaan. Apa-apa pun, terpulang kepada semua

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat-benar (dalam segala perkara)" --- al-Ahzab, ayat 70.

http://bmppsmi.blogspot.com

Syor, cadangan, bantahan boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.

11:45 p.m, 14 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru _

Friday, February 06, 2009

Adakah Senator Dr Firdaus boleh suarakan isu PPSMI di Dewan Negara?
Ali Bukhari Amir
Fri | Feb 06, 09 | 9:50:23 pm MYT

Selepas berakhirnya jawatan beliau sebagai Ketua Pengarah DBP sejak Mei tahun lalu, Dato' Dr Firdaus Abdullah kini telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal pertama baru-baru ini.

Terlalu awal membuat andaian terhadap sesiapa pun yang baru memegang jawatan. Barrack Obama yang baru mengangkat sumpahnya pada 20 Januari lalu. Tetapi, akhir-akhir ini, kita sudah dapat melihat tanda-tanda sokongan Obama itu ke arah mana.

Tetapi, itu riwayat Obama. Kisah senator Dato' Dr Firdaus bagaimana pula? Obama telah dikelilingi para penasihat Yahudi; keadaan yang sama seperti Raja-Raja Melayu kita pada suatu masa dahulu.

Walaupun Raja-Raja Melayu dikelilingi Residen British, dan kononnya penjajah tidak akan masuk campur dalam hal-ehwal Islam dan istiadat Melayu, tetapi akhirnya rebah juga dan beberapa Raja Melayu tersingkir lalu dibuang jauh dari negeri sendiri.

Gaya dan bentuknya lebih kurang sama. Sebab itulah agaknya Obama terperangkap dan tidak boleh bersuara jauh lebih daripada itu. Ada juga Raja-Raja Melayu yang diangkat sebagai raja oleh penjajah British.

Dengan itu, akhirnya mereka berasa terhutang budi kepada British lalu dia bersikap lunak dan sukar melawan kehendak penjajah tersebut.

Tapi, Dr Firdaus dilantik oleh Perdana Menteri. Dan hal ini mengundang pertanyaan baru pula kepada para pejuang bahasa yang anti isu PPSMI ini. Adakah beliau dapat mewakili suara yang mahu mansuhkan PPSMI di Dewan Negara?

Kenyataan akhbar
Kenyataan Dr Firdaus di akhbar baru-baru ini mungkin boleh disemak dan dianalisa satu-persatu setelah robohnya kekuatan Pakatan Rakyat Perak yang menjadi simbolik terhadap rebahnya kekuatan dalam memansuhkan PPSMI.

Bercakap kepada pemberita, Dato' Firdaus melafazkan rasa terharu kerana diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memikul tugas sebagai Senator.

Katanya, keanggotaan di Dewan Negara akan dimanfaatkan untuk mengambil bahagian secara membina bagi meningkatkan mutu perdebatan.

"Saya tidak dijelaskan mengenai kriteria pelantikan saya, barangkali berasaskan penglibatan dalam bidang akademik, budaya dan penulisan.

"Semoga peranan saya menyuburkan sistem demokrasi berparlimen di negara ini," katanya yang akan membuat penampilan pertama pada Sidang Dewan Negara pertengahan bulan depan.

Mengenai isu yang akan diperjuangkan, Firdaus berkata, ia berkaitan harapan melihat pemurniaan dan pengamalan kebudayaan kebangsaan diberi keutamaan oleh kerajaan.

Katanya, kedudukan penulis dan budayawan juga perlu diberi perhatian sewajarnya dalam struktur masyarakat.

Kemanusiaan, kebudayaan melawan Sains, Teknologi
"Saya berharap obsesi kita kepada sains dan teknologi dapat diimbangi dengan pertimbangan kemanusiaan dan kebudayaan dalam membentuk serta melaksanakan polisi.

"Saya tak nafikan kepentingan sains dan teknologi tetapi ia perlu seimbang dengan unsur kemanusiaan, bak kata pepatah 'rasa dibawa naik, akal dibawa turun', katanya.

Mungkinkah.. suara baru senator cuba berselindung untuk sementara waktu di atas nama kemanusiaan, kebudayaan supaya tidak jelas kelihatan jalur warna penentangan terhadap isu PPSMI ini? Apa yang penting, jiwa muda kita bergelora, penasaran menantikan watak senator ini beraksi dalam menyuarakan penentangan ke atas isu PPSMI.

Kita simpulkan demikian kerana kelibat Dr Firdaus telah kelihatan dalam beberapa majlis dan program yang terkait dengan kegiatan memansuhkan PPSMI sebelum ini. Yang amat jelas dan dekat di jiwa saya ialah ketika beliau hadiri acara Dialog Peradaban, UM ketika Gapena mula lantang menyatakan hasratnya untuk menyaman kerajaan.

Mohon maaf kerana berterus-terang dengan Dato' Firdaus
Tatkala Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) melancarkan gerakannya di Sogo baru-baru ini, saya mungkin juga terlepas pandang. Yang ada.. Dato' A. Samad Said, Dato' Hassan Ahmad, Dr Awang Sariyan yang khabarnya turun dari Beijing, China untuk demo itu.

Dan ada juga beberapa tokoh-tokoh lain yang tak dapat disenaraikan namanya di sini.

Tapi kalau Dr Firdaus memang turun saya minta maaf kerana terlepas pandang. Alangkah baiknya kalau dapat disertai perarakan itu bagi menghimpunkan kekuatan jalanan setelah beberapa tahun cuba berdialog, berunding secara berhikmah, tapi tidak diendahkan.

Sekian.. selamat berjuang kepada Dr Firdaus. Khuatir juga beliau marah-marah saya tulis begini. Mungkin beliau tidak ingat saya lagi. Tetapi kita pernah duduk semeja sekali pada suatu malam di Samarinda, Kalimantan Timur ketika berbual mengenai hal-hal puisi.

Di dalam bualan santai bersama sahabat itulah saya mula mengenali hati budinya setelah saya 'dimarahi' Dr. Firdaus, "Tak perlu berlapik nak susun ayat..cakap terus-terang!"

Selesai bualan malam itu, dan setelah dimaklumkan oleh sahabat, barulah saya tahu sikit sebanyak sikap dan gaya beliau yang suka kita bercakap terus-terang.

"Jangan cakap belok-belok.. dia tak suka. Straight to the point," kata sahabat saya di DBP, Saif yang turut terlibat dalam acara di sana tahun lalu. Maka di atas semangat itu rasanya perlu dicatatkan hal yang serius ini dengan terus-terang tanpa belok-belok.

Oleh kerana, PPSMI adalah satu dasar yang menjatuhkan maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mencalarkan rupa paras jiwa Melayu sebagai bangsa yang diberi amanah untuk menegakkan maruah Islam di bumi merdeka ini, maka saya terpaksa tanya beliau secara terbuka begini.. iaitu bolehkah beliau terang-terang mengangkat isu PPSMI ini di Dewan Negara tanpa perlu takut dan gentar kepada Perdana Menteri?

Kalau perlu, rakan-rakan yang ingin memansuhkan PPSMI ini mungkin boleh membantu jika Dato' mendapat tekanan senator lain yang mempertahan PPSMI. Harap, akan berlaku dialog berterusan dengan Dato' selepas ini berhubung syor pemansuhan PPSMI di Dewan Negara. Maaf..saya dilatih berterus terang hasil 'latihan' Dato' pada malam suram di Samarinda juga.

Kita telah lama melawan dan membantah PPSMI lewat puisi, memo dan demo baru-baru ini di ibu kota. Mahu juga mencuba pendekatan baru di Dewan Negara. Tapi.. bolehkah Dato'?

7:31 p.m, 6 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru

http://bmppsmi.blogspot.com

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm&arc=hive (Dr. Firdaus Abdullah dilantik sebagai Senator)

Syor, bantahan, ulasan.. boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _