Tuesday, September 19, 2006

Label antara mahasiswa tidak wujud?

Oleh: Ali Bukhari Amir

Seorang kenalan baru saya baru-baru ini mengutarakan rasa kurang puas hatinya kepada masalah penjenamaan dan label-melabel dalam kalangan pelajar. Daripada bualan itu, jelas sekali beliau kurang senang dengan soalan saya.
Sebagai wartawan saya terpaksa mengutarakan soalan membabitkan penjenamaan terhadap pergerakan mahasiswa yang telah digunakan secara meluas oleh media. Antara istilah yang kerap berulang dalam pertanyaan saya itu ialah Aspirasi.
“Saya sebenarnya tak tahu siapakah yang boleh saya ambil kenyataan kalau mahu melaporkan pendirian Aspirasi ke atas sesuatu isu,” kata saya kepada kenalan itu.
“Inilah media sekarang,” pintas beliau sambil mengeluh, “kenapa gemar mencipta label-label ini yang akhirnya membuatkan mahasiswa itu berpecah-pecah?”
Ahmad (bukan nama sebenar) kenalan baru saya itu adalah tergolong orang besar di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi. Saya berjumpa beliau dalam siri demonstrasi mahasiswa pada 15 September lalu berhampiran PWTC baru-baru ini.
Saya berasa, gelaran ini sebenarnya berpunca daripada kerajaan juga. Media tidak boleh dipersalahkan 100% dalam hal ini. Ketika di awal-awal kehadiran Aspirasi, akhbar telah cuba melaporkan sebaik mungkin mengenai golongan manakah yang menang.
Akhbar dan wartawan tidak pernah peduli golongan manakah yang menang. Yang ambil peduli, berasa resah gelisah atau gembira dengan kemenangan dan kekalahan pihak tertentu dalam pilihan raya kampus universiti itu ialah kelompok parti politik.
Pengamal media itu sebenarnya sedikit pun tidak tercuit rasa dengan kemenangan dan kekalahan pihak tertentu. Wartawan hanya tercuit batinnya jika laporan beritanya tak diterima editor tanpa alasan kukuh. Wartawan cuma menderita kalau perkakas menaipnya dimangsakan editor-sama ada komputernya dirosakkan atau diletakkan kata laluan hingga mengganggu urusannya menaip dan bekerja.
Istilah Aspirasi, SMM, Gamis, PKPIM diwujudkan oleh kelompok-kelompok itu sendiri. Ada riwayat menunjukkan, Adam yang memberikan nama Hawa kepada isterinya dan ketika malaikat dicabar untuk menamakan atau menjenamakan segala benda-benda di dalam syurga, ternyata manusia bernama Adam itulah yang berjaya menamakannya.
Kalau melihat dari logik ini maka wartawan tidak dapat dipersalahkan. Mereka ini tentulah bertanya kepada para pegawai tinggi BTN, “Datuk, golongan siapa yang menang dalam pilihan raya kampus kali ini?”
Rakan saya, Deep Throat berkata, bahawa ahli GPMS (Gemada) memberitahunya mengenai peranan BTN di dalam menghebahkan maklumat kemenangan Aspirasi kepada media dua tahun lalu. Ketika itu saya masih bergelar mahasiswa dan berperanan di dalam akhbar Berita Kampus (BK) terbitan Pusat Pengajian Komunikasi, USM.
Akibat laporan saya mengenai kemenangan mahasiswa berhaluan kiri yang cuba dijenamakan sebagai Idealisme itu, maka presiden PMIUSM, Salihin telah dipanggil oleh Ketua Penolong Pendaftar HEP USM, encik Nazru Ismail.
Dia diarahkan hadir untuk melaporkan kepada HEP tentang tindakannya memberi kenyataannya kepada BK mengenai kemenangan PMI USM dalam PRK itu. Di dalam hal ini juga, saya dapat mengesan bahawa HEP sendiri mengalami ketakutan yang luar biasa kepada para pegawai KPT.
Kelemahan HEP ketara jelas apabila saya dimarahi encik Nazru ketika menemani Salihin membuat laporan. Suasana pada masa itu memang tegang. Dan pemimpin pelajar yang paling lantang sekali pun cuma berani berbisik di belakang. Akhirnya, saya terpaksa meninggalkan beliau keseorangan berteman suara pegawai HEP yang marah-marah itu.
“Idealisme menang tipis 19 – 18 kepada Aspirasi,” lebih kurang begitulah laporan berita dalam BK yang mungkin menyengat hati dan perasaan HEP saat itu. Turut bersama saya ketika undian dikira pada malam itu ialah seorang wartawan daripada aliran perdana iaitu Razif (bukan nama sebenar).

Penjenamaan agenda parti pemerintah?
Kira-kira dua minggu selepas PRK berlangsung, kami bertemu lagi di dalam suatu program di USM. Kali ini Razif memberitahu–laporan kemenangan mahasiswa berhaluan kiri yang ditulisnya telah dibuang lalu digantikan dengan kemenangan Aspirasi.
Razif menulis dengan bertanggungjawab. Dia hadir di tempat pembuangan undi. Laporannya itu sama dengan BK, tapi telah diputarbelitkan oleh editor atas arahan pihak-pihak tertentu. Jadi siapakah yang menjenamakan Aspirasi? Pihak tertentu atau pengamal media? Bagi kelompok berhaluan kiri, jenamanya memang tidak seragam.
Di USM BK telah menggunakan istilah Idealisme setelah dipersetujui kumpulan itu sendiri. Bagi Aspirasi ia semakin mudah. Ini kerana, stiker Aspirasi berjebah di mana-mana sekali pun. Di tandas, café dan dewan-dewan kuliah, stiker itu ditampal merata-rata dan sudah tentu istilah itu dipersetujui oleh kumpulan yang telah mencetak stiker itu.
Sekali lagi, jawapan saya kepada Ahmad-kenalan baru itu, bukan pengamal media yang boleh dipersalahkan kerana membentuk istilah dan menjenamakan Aspirasi. Mereka sendiri yang menamakan diri mereka.
Apabila Ahmad berkata, permainan istilah oleh media menyebabkan pelajar telah berpecah-belah, hal itulah yang membenihkan kerunsingan di hati saya. Gusar ini tumbuh lantaran Ahmad adalah seorang pegawai KPT. Cuma beliau tidak mahu saya merekodkan kenyataannya di atas nama beliau.
Adakah pandangan ini bersamaan dengan pandangan KPT dan menterinya sekali? Jika demikian, amat malang sekali. Sebenarnya, yang menyebabkan pecah-belah ini ialah ideologi dalaman manusia itu sendiri. Dalam al-Qur’an, mungkin kita boleh menisbahkan sistem kepercayaan manusia yang disebutkan sebagai aqidah sebagai usul perpecahan.
Al-Qur’an sendiri tidak sunyi menjenamakan manusia sebagai Mukmin, Kafir dan Munafiq. Apakah takrif bagi ketiga-tiga istilah itu? Satu kelompok beriman, keduanya itu enggan tunduk kepada arahan Tuhan, kelompok ketiga pula kelihatan mukmin luaran tapi kufur di bahagian dalaman.
Maka, bagi memudahkan perbincangan, Allah menjenamakan manusia ini kepada Mukmin, Kafir dan Munafiq. Sudah pasti dari segi sistem kepercayaan yang rencam, ada namanya bertujuan memberikan penjelasan, sekali gus bertujuan memasukkan golongan yang dikasihi ke dalam syurga dan sebaliknya.

Penjenamaan menyulitkan pemberitaan?
Saya suka menajamkan ingatan para pembaca mengenai jawapan mantan Presiden PM UM Mohd Afendi Omar dan mantan Presiden MPP UKM Anas Ali dalam rancangan Isu Semasa sepekan yang lalu.
Apabila kedua-dua pemimpin pelajar ditanyakan tentang pendirian mereka ke atas konflik Abdullah – Mahathir, masing-masing berkata - pelajar memihak kepada pimpinan kerajaan yang ada. Bagaimanapun, tambah Afendi, ‘kita’ harus beri peluang kepada Tun untuk meluahkan rasa hatinya. Wartawan yang menulis laporan tentang pendirian pelajar, tentunya tertarik dengan kenyataan itu.
Jika saya diberi peluang, tentu saya bertanya lagi, “Adakah ini pendirian Aspirasi, iaitu Aspirasi mahu memberi ruang kepada Tun untuk bercakap di setiap universiti?”
“Adakah saudara pengerusi Aspirasi? Jika benar, adakah anda akan membawa hal ini dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang akan memutuskan agar ada jadual khusus kepada Tun supaya beliau bergilir-gilir memberi ceramahnya?”
“Apa tindakan susulan Aspirasi jika TPM dan Menteri Pengajian Tinggi menolak mentah-mentah usaha membawa Tun dalam IPT dalam sesi ‘tour’ ceramah beliau?”
“Apakah Aspirasi akan bergabung dengan PMIUM untuk melancarkan usaha agar Tun dapat berucap di Dewan Tunku Canselor? Untuk pengetahuan pengerusi, PMI UM, dalam kenyataannya dulu, pernah bercadang untuk menyediakan pentas supaya Tun dapat bercakap di UM. Bersetujukah tuan pengerusi bergabung dengan mereka?”
“Bagaimana pelan tindakan alternatif jika terdapat halangan HEP di setiap IPT untuk membawa Tun berucap kepada warga kampus?”
Akan tetapi, soalan-soalan seperti ini tidak sempat saya tanyakan. Ahmad terlebih dulu menafikan kewujudan Aspirasi. Katanya, badan itu bukan berdaftar, ia tiada struktur organisasi yang lengkap tersusun dengan pengerusi, setiausaha, bendahari dan lainnya.
Sebab itulah penulisan berita mengenai aktiviti kemahasiswaan terasa hambar dan termasuklah faktor-faktor ketakutan mahasiswa itu sendiri untuk berbicara di atas mimbar Aspirasi. Di samping itu, kita melihat betapa lemahnya analisis mereka dalam meratah isi isu semasa. Dengan kelemahan itu, apakah mereka mampu memuntahkan idea bernas?
Selagi di dalam hati mereka masih bergelumang benih ketakutan dalam berbicara dan berasa satu keperluan untuk meminta keizinan HEP dalam menelurkan kata-kata atau menetaskan ribuan idea tersendiri, lupakanlah hasrat untuk menjadi juara masyarakat.
Dengan Auku itu, kerajaan secara tak langsung telah pun mengajar, mendidik dan mengasuh pelajar menjadi pemimpin yang gemar berbohong, takut bercakap dan hipokrit. Mengapa perlu takut menyatakan diri anda sebagai peminat parti politik di Malaysia?
Berbicaralah dengan nafas berani, “Saya sokong parti kati, di mana salahnya?Apa masalahnya?” Jijik di mana hingga sesetengah pelajar enggan mengaku memihak kepada parti pemerintah? Kalau pelajar itu merenung ke bulan, jijikkah mengaku dirinya sebagai peminat pembangkang? Adakah ‘parti’ itu bersalah atau ‘anggota parti’ yang bersalah?
Yang jijik dan memualkan adalah sikap sesetengah ahli parti yang menyebabkan nama serta imej parti itu menjadi rosak binasa. Kita selalu ego. Kesalahan kita seringkali dinisbahkan kepada doktrin yang dipahatkan oleh kaum pertama; pencipta sesebuah parti.
Tiap-tiap pertubuhan, organisasi dan parti politik di mana-mana negara pun bukan ditubuhkan bertujuan memusnahkan insan. Jika tidak, tentulah awal-awal lagi dikuburkan semua parti itu. Setakat yang diketahui, hanyalah pertubuhan Zionis dan Freemason yang bertunjangkan matlamat menjahanamkan kemanusiaan secara idealnya.
Selain itu, semua parti telah ditubuhkan dengan nawaitu sulung yang bersih, suci murni dan segar hinggalah qasad bongsu para ahli parti dalam generasi kemudian tersasar jauh daripada landasan perjuangan kaum pertama yang menubuhkan parti berkenaan.
Saya harap, pihak parti pemerintah jelas dengan hal ini. Berilah ruang mahasiswa itu bernafas di atas nama kepartian. Kata Ahmad lagi, jika ahli parti itu dibenarkan masuk ke universiti bertujuan mengkaderkan ahlinya, kerosakan besar berlaku.

Parti tidak mengganggu pembelajaran
“Hal ini akan mengganggu pelajaran,” katanya. Pandangan ini ganjil. Saya yakin, pengkaderan mahasiswa tidak mungkin berlaku dalam bentuk kekerasan.
Tak mungkin ada anggota mana-mana parti yang akan menggunakan senjata atau mengacukan pistol di kepala pelajar untuk memaksa mereka memasuki parti. Ini kerana, senjata merbahaya diharamkan di negara kita. Pemilik pistol pula perlu memohon lesen.
Tidak dapat tidak, parti pemerintah dan pembangkang perlulah mengkader secara terhormat di pentas-pentas ceramah secara terbuka di padang-padang universiti. Itu pun jika siswa tidak bermain bola pada waktu berkenaan. Mereka perlu hormat warga IPT.
Mereka tidak boleh berucap dalam dewan kuliah sehingga mengganggu syarahan pensyarah. Ahli parti perlu hormat kepada peruntukan masa kuliah pengajian universiti.
Jadi, jikalau pelajar itu berminat, mereka tentulah datang mendengar. Kalau tidak, mereka tentu akan pulang begitu saja. Jika pelajar itu ada sebarang aduan kepada ahli-ahli Parlimen mereka, sama ada pembangkang atau parti pemerintah, mereka boleh majukan kepada mereka supaya hal itu didebatkan dalam Parlimen.
Mereka boleh bercakap darihal isu apa saja. Misalnya, HEP bersekongkol dengan Aspirasi dalam hal pengagihan pinjaman PTPTN dan lainnya. Pelantikan TNC HEP tidak sah kerana tidak melalui borang-borang tertentu. Pengetua asrama ‘songlap’ duit asrama dengan kaedah tertentu. Itu contoh-contoh saja. Bukanlah betul pun. Ah! Kalau betul pun, apa masalahnya? Tubuhkanlah jawatankuasa siasatan diketuai ahli Parlimen. Takut apa??
Ahli Parlimen pun tentu suka meneguk idea-idea bernas daripada mahasiswa serta pensyarah daripada sibuk bertelagah sesama mereka. Tentu mereka bosan juga jika asyik menilik wajah-wajah yang sama di Parlimen. Mungkin, sebab bosan itulah mereka asyik-asyik bergaduh agaknya saban malam seperti yang tersiar dalam televisyen itu.
Masukan data dan input-input baru hasil kajian mahasiswa yang selalu berbakti di desa-desa mundur di dalam acara bakti siswa bolehlah diserahkan serta dibincang melalui suasana musyawarah yang sihat adanya. Sebab itulah kemasukan dan kebanjiran parti dan ahli Parlimen dalam universiti amatlah dibutuhkan oleh warga ‘industri’ pengajian tinggi.
Janganlah hendaknya, parti pemerintah berfikiran sempit dengan meneropong hal kemasukan, kebanjiran parti politik dalam kampus melalui kotak pemikiran yang sempit dan dangkal adanya. Kita perlulah melihat daripada pelbagai aspek yang menyeluruh dan mengambil pendekatan yang holistik-positif juga. Pendek kata, berfikirlah di luar kotak!
Bak pepatah H Fansuri, memupuk benih kelas pertama, harus menyemainya subur di universiti dahulu. Tapi, kalaulah bab penjenamaan Aspirasi, Idealisme, kekangan Auku belum kita rungkai, bagaimanakah mahu memupuk minda kelas pertama? Membina kelas tadika dan taska pun belum tentu lagi, kalau demikianlah cara kita berfikir.
Semoga Ahmad serta rakan-rakannya dapat membatalkan pandangan bodoh saya ini hendaknya. Wassalam …


Sekolah Pemikiran Kg. Baru,
5:22 a.m, 200906.

Saturday, September 16, 2006


GMA desak KPT adakan pertemuan bincang isu PRK
Oleh: Ali Bukhari Amir
KUALA LUMPUR, 16 Sept (Warta Siswa) - Ekoran kegagalan dalam pertemuan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam, Gerakan Mansuhkan Auku (GMA) mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dapat menyusun pertemuan berikutnya untuk membincangkan isu demokrasi kampus dan penyelewengan pilihan raya kampus (PRK).
Jurucakap GMA Mohd Nazri Yunos berkata demikian kepada wartawan sejurus perbincangan antara 20 orang wakil pelajar GMA dengan wakil KPT berlangsung sekitar setengah jam bermula 5:15 petang semalam.
Pertemuan yang menghimpunkan sekitar 300 orang pelajar universiti di seluruh Malaysia itu dibuat di hadapan sebuah hotel di ibu kota, berhampiran Pusat Perdagangan Dunia Putra di sini pada 3:30 petang semalam.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Mohamed dijadualkan bermesyuarat dengan kepimpinan pelajar pro-Aspirasi dalam Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Mohd Nazri berkata, hasil perbincangan pelajar bersama wakil KPT itu berakhir dengan keputusan yang tidak memihak kepada kehendak mereka untuk berbincang dengan Menteri Pengajian Tinggi.

"Berdasarkan perjumpaan dengan wakil KPT, kita tidak dapat berjumpa dengan menteri. Kalau KPT betul-betul mahu berjumpa, kita minta diaturkan satu pertemuan di mana dalam perbincangan itu mereka mesti menjawab setiap pertanyaan yang kita lontarkan. Kita mahu buktikan bahawa semua mahasiswa tanpa mengira kaum telah bangkit menyatakan kebenaran. Kita bukan boneka.

"Alasan tidak dapat bertemu ialah, beliau masih bermesyuarat. Kalau betul beliau ikhlas, kita minta beliau mengadakan satu pertemuan dengan kita. Kita tidak tahan melihat kepimpinan mahasiswa yang tidak dapat mempertahan hak mahasiswa. Mereka tidak dapat membahas isu-isu antarabangsa dan kepimpinan mahasiswa kini tidak berani bangkit mempertahan hak asasi mahasiswa," kata Mohd Nazri.
Ekoran desakan mahasiswa untuk menemui Mustapha beramai-ramai, pihak polis dari Balai Polis Dang Wangi dikerahkan ke tempat kejadian bagi menyelesaikan hal tersebut. Hasil perbincangan itu, 20 orang wakil pelajar GMA disenaraikan sebagai delegasi untuk membuat perbincangan bersama wakil KPT.
Dalam perbincangan itu, menurut beliau, wakil KPT tidak dapat memberi jaminan kepada wakil delegasi GMA untuk membuka peluang agar pihak GMA dapat menemui Mustapha sehingga waktu maghrib.
"Sebab itu," kata beliau, "kita mengambil pendirian di pihak GMA, bahawa kita tidak mahu menyerahkan memorandum kita selain daripada menteri sendiri."
Selain itu, tambah beliau, pihak GMA meminta kepimpinan Aspirasi agar bersedia tampil untuk berdebat tentang isu pilihan raya kampus dan sebagainya.
"Kita bersedia berdebat mengenainya. Mereka perlu tahu, kenapa kita mempertikaikan pilihan raya kampus sebelum ini," tambah beliau.
Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Mohd Husni Abdul Karim berkata, pihak mahasiswa sebelum itu telah pun berjumpa dengan Datuk Mustapha Mohamed sesudah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara petang semalam.
"Kami sempat bersalam dengan beliau selesai solat. Kami menyatakan hasrat bahawa kami ingin menemuinya sejurus selepas beliau tamat bermesyuarat bersama kepimpinan Aspirasi nanti," kata beliau.
TAMAT.