Tuesday, March 03, 2009

Ali Bukhari Amir
Mon Mar 02, 09 10:11:08 pm MYT
Tun Mahathir yang dikasihi.. Apabila saya membangkitkan seruan agar Tun segera bertaubat sebelum Tun 'wafat', ramai penyokong Tun yang marah-marah.
Saya tak ambil kisah dengan kemarahan mereka itu. Mereka masih belum memahami apakah yang saya maksudkan.

Rakyat dijadualkan berdemonstrasi di ibu kota pada 7 Mac depan. Hari ini, 2 Mac ketika saya masih menulis ini. Masih ada sisa 5 hari untuk kita berbual berhubung masalah taubat sebelum kewafatan Tun.

Buya Hamka pernah menulis dalam buku yang meriwayatkan kisah hidup ayahnya. Kata Hamka, semolek-moleknya, perbuatan menulis riwayat kisah hidup dan perjuangan ayahnya itu lebih baik dimulakan setelah kematian ayahnya. Tetapi, Hamka teringat sesuatu..

Bagaimana kalau dia (Hamka) sendiri yang meninggal dunia sebelum sempat menulis riwayat hidup ayahnya? Pertanyaan inilah yang menyebabkan dia bingkas bangun dan menulis untuk rakyatnya. Kita panggil pemikiran ini bersifat keakhiratan. Segala-galanya menumpu akhirat.

Dan hal inilah yang menyebabkan saya menulis kepada Tun. Bagaimana kalau saya mati lebih awal seperti yang saya sebut dalam surat sebelum ini? Maka, tak sempatlah saya menasihatkan Tun untuk kembali bertaubat. Hidup mati kita semuanya dalam genggaman Tuhan.

Paling memenatkan, saya risau dengan pertanyaan di Padang Mahsyar, apa yang saya lakukan untuk mengajak Tun kembali ke jalan Tuhan? Saya cuma berharap semoga surat-surat ini akan bangkit sebagai lembaga raksasa di akhirat kelak dan lembaga inilah yang akan menjadi saksi-saksi itu yang bakal menyelamatkan saya kelak. Amin..

Yang marahkan saya berikutan tersiarnya surat-surat yang lalu, mereka itu mungkin pengampu dan pembodek Tun. Di Padang Mahsyar kelak, mereka sendiri tak akan membela Tun di depan Tuhan. Di dunia ini sahaja mereka berani marah-marahkan saya.

Sekurang-kurangnya, saya jujur menegur Tun di dunia. Di akhirat, kita dah masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Saya dengan dosa saya, Tun dengan dosa Tun. Dan, mereka yang suka memuji Tun, mengampu peemrintah dan marahkan saya itu akan terdiam di akhirat kelak.
Hari itu adalah hari di mana kita semua akan sibuk dengan urusan masing-masing. Jadi, di dunia ini kita diperintahkan untuk mengajak orang ke arah kebaikan dan menyeru orang meninggalkan kejahatan. Dan, jika ada orang membuat kesilapan, kita diminta membetulkan kesalahan itu.

Berdosakah mengajak orang bertaubat?Bukanlah suatu dosa jika kita mengajak saudara kita bertaubat. Di dalam surah al-Asr disebutkan kita diminta saling berwasiat dengan kebenaran dan saling berwasiat dengan kesabaran.

[1] Demi Masa!
[2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
[3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Seorang pembaca; Meor Harizal Arifin (meorharizal@gmail.com) mengulas mengenai taubat Tun sebagai berikut..

Tun mungkin dah bertaubat (hanya Tuhan yang tahu) (jangan menuduh, nanti kamu, nerakalah tempatnya)

Betapa 'kasihnya' mereka terhadap Tun! Tapi, kasih mereka tidak kena pada tempatnya. Jikalau mereka benar-benar kasihkan Tun, nescaya mereka akan mengikuti jejak langkah saya.

Saya ingin menyanggah kata mereka ini dengan menyatakan bahawa Tun belum lagi bertaubat. Dan.. akan saya buktikan bahawa saya sangat benar dalam perkara ini.

Saya yakin orang-orang seperti Meor dan rakan-rakannya yang berfikiran sama dengannya tidak membaca tulisan sebelum ini ketika saya mengulas cerpen Awamil Sarkam yang bertajuk Pak Cik Saya Kembali ke Masjid.

Atau..kalau mereka telah membaca sekali pun, nescaya mereka tak akan memahaminya. Melayu bukan sahaja mudah lupa, bak kata Tun sendiri, tetapi bebal kerana telah begitu lama dibebalkan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Saya kembarkan di sini tulisan tersebut sebagai santapan minda Meor dan rakan-rakan pembaca Harakah Daily yang lain.

Bagi memahami apa yang dimaksudkan oleh Mazlan Nordin, pengarang asal cerpen ini, Awamil Sarkam, maka lebih baiklah saya berterus-terang. Watak Pak Cik Bakaruddin di dalam cerpen ini adalah watak-watak pegawai kerajaan seperti Tun dan menteri-menteri lainnya.

Seumur hidup mereka semenjak memegang pemerintahan itu, mereka telah banyak melakukan penganiayaan ke atas wanita, membuat janji tetapi tidak ditunaikan, meminjam wang tetapi tidak membayarnya dan lain-lain lagi.

Perkara ini berlanjutan dengan kerapnya sehinggakan manusia-manusia yang tertindas di bawah Tun @ Pak Cik Bakaruddin tadi sudah menjadi tidak berani meminta kembali wang itu dan tidak berani menyanggah Tun @ Pak Cik Bakaruddin.

Tiba-tiba di akhir-akhir penghujung riwayatnya, pegawai kerajaan ini mahu ke masjid dengan satu harapan.. semoga dosa-dosa mereka dalam pemerintahan terdahulu (membuang orang tahanan dalam penjara ISA dengan tidak dibicarakan kesalahan mereka, rasuah dan lain.)

Semua dosa pemimpin, pegawai kerajaan yang terkait dengan manusia ini, telah menjadi bahan fikiran Awamil Sarkam. Saya perturunkan lagi bait-bait tulisan Awamil Sarkam seterusnya..

Dalam perjalanan balik ke rumah, saya terfikir-fikir: Adakah dosa pak cik saya itu akan hapus begitu saja? Sedangkan guru agama saya menyatakan, kalau berdosa kepada Tuhan, cukuplah meminta ampun kepadaNya saja; kemudian melakukan segala titah perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Tetapi, kalau berdosa kepada sesama manusia, maka seharusnya ampun dan maaf diminta kepada manusia itu sendiri dan sesudah itu barulah Tuhan akan mengampuni kita.

Tetapi, Pak Cik Bakaruddin hanya sembahyang dan berdoa di masjid dengan tidak mencari orang-orang yang telah dianiayanya dulu itu.

Inilah yang menjadi bahan fikiran saya selepas mendengar cerita Pak Cik Bakaruddin. Sesungguhnya fikiran inilah yang membuatkan perasaan saya menderita sekarang. Hati saya selalu tertanya: Adakah dosa pak cik saya itu akan hapus begitu saja? Dan, setiap pertanyaan ini timbul, maka saya tidak dapat menjawabnya, malah membingungkan, juga menakutkan.

Syahadan.. untung benarlah Tun. Dalam kes Tun membuang Anwar dalam penjara. Tanpa perlu Tun memohon maaf, maka Anwar telah mengampunkan Tun. Tapi, adakah Dato' Haron Din telah memaafkan Tun tatkala menghinanya dengan air jampi itu?

Lupakanlah soal itu. Adapun tujuan saya menulis ini bukan memaksa Tun bermuhasabah dalam banyak perkara. Saya cuma meminta Tun merenung semula kesilapan Tun dalam hal PPSMI ini. Itu sahaja. Buatlah keputusan dengan sebaik-baiknya sebelum Tun meninggal dunia.

Jenis-jenis taubatJadinya Tun, dosa terbelah dua untuk memudahkan kita berbincang. Hablun minallah (hubungan dengan Allah) dan hablun minan nas (hubungan sesama manusia). Tapi, pada hakikatnya insan itu dikelilingi oleh haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam persekitaran.

Adakah kita akan terlepas jika kita menyeksa anjing, kucing dan membiarkan mereka kehausan? Tak salah ingatan saya, ada kisah bahawa seorang perempuan yang alim masuk neraka dengan sebab membiarkan haiwannya mati kehausan.

Tapi, ada pelacur yang memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan, lalu dengan sebab itu, dia masuk ke dalam syurga. Dosanya melacur itu antara beliau dengan Tuhan, telah terhapus oleh sebab ihsannya kepada anjing.

Ertinya dosa kepada Tuhan mudah diampunkan. Ini melibatkan dosa hablum minallah. Tetapi hal dosa yang membabitkan manusia lain seperti menyusahkan guru-guru dan murid-murid dengan sebab PPSMI ini, adakah mudah diampunkan?

Seperti mana Awamil Sarkam menukilkan kisah anak muda yang risau dosa Pak Cik Bakaruddin, seorang pegawai kerajaan yang banyak melakukan jenayah, dosa ke atas orang bawahan, maka saya pun sejak akhir-akhir ini didorongkan Tuhan seperti Awamil Sarkam mengingatkan Tun.

Saya tidak risau sangat kalau Tun dan menteri tinggal solat atau dosa-dosa tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, Najib memandang aurat wanita Mongolia dan sebagainya. Segala dosa ini, seperti yang difahami oleh saudara Meor dan rakan-rakannya tadi, sememangnya akan teruslah diampunkan Tuhan dengan solat, doa dan istighfar harian yang berterusan.

Apabila Meor berkata, manalah kita tahu, entah-entah dosa Tun diampunkan Tuhan, maka saya tidak maksudkan dosa-dosa itu seperti tinggal solat, tak berpuasa, minum arak, berjudi serta lain-lainnya. Ini kategori dosa peribadi, menyangkut hubungan kita dengan Tuhan.

Memang betul. Jika Meor berfahaman begitu, entah-entah dosa meminum arak kita itu sudah pun diampunkan Tuhan. Siapa yang tahu? Dan, saya pun tidak minta Tun bertaubat dengan merujuk kepada dosa-dosa yang seperti itu.

Adapun dosa-dosa yang saya minta Tun fikirkan semula untuk bertaubat, ialah perihal dosa-dosa yang membabitkan manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan alam persekitaran.

Saya yakin benar, bahawa ramai menteri-menteri, bekas pegawai kerajaan yang masih berfikiran sama seperti Pak Cik Bakaruddin itu. Mereka fikir, jika mereka bersolat taubat, bersujud tahajud, dan kerap berulang-alik ke masjid, maka taubat (dosa ke atas manusia) akan diterima.

Adakah solat tasbih Abdullah Ahmad Badawi itu boleh membasuh dosa menangkap orang dalam tahanan ISA? Adakah sujud tahajud Najib boleh mengelakkan beliau ditanya mengenai bom C4 yang digunakan untuk membunuh (tepatnya meletupkan) tubuh Altantuya of Mongolia sedangkan beliau pada ketika itu masih bergelar Menteri Pertahanan? Siapa izinkan bom itu digunakan?

Adakah Tuhan itu bersikap 'bias' ketika menjatuhkan hukuman? Adakah Tuhan itu berat sebelah dalam membuat pengadilan? Kita ini mahu tipu siapa sebenarnya dengan solat tasbih dan sujud tahajud itu? Nak tipu Tuhan yang bijaksana, lengkap dengan segala sifat kesempurnaan?

Kita biasa mendengar hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah s.,a.w pernah bertaubat 100 kali atau 70 kali sehari. Pengertian bertaubat di sini adalah lafaz istighfar sebanyak 100 kali atau 70 kali dalam sehari. Jadi, kalau kita beristighfar 100 atau 70 kali dalam sehari, ini bermakna kita telah mengikut sunnah nabi.

Kalau hal yang seumpama inilah yang difahami oleh Meor dan rakan-rakannya, maka ini adalah taubat peribadi antara kita dengan Allah s.w.t. Adakah istighfar harian 100 @ 70 kali itu mencuci dosa membunuh Mustakizah, Altantuya dan segala wanita yang telah digelapkan riwayatnya?

(Inilah yang mungkin berlegar dalam fikiran Pak Cik Bakaruddin itu agaknya. Beliau mungkin berfikir bahawa wirid, zikir dan istighfar 100 dan 70 kali sehari itu dapatlah menebus dosanya ke atas orang-orang yang pernah dizalimi dan wanita-wanita yang dianiayainya.)

Amat banyak pertanyaan yang tak mampu dijawab. Biarlah.. saya pun bukannya mahu dapatkan penjelasan berhubung hal-hal ini. Saya hanya ingin tagihkan jawapan, samada Tun berasa kesal atau tidak dengan penderitaan murid-murid dan guru-guru, ibu bapa, dalam isu PPSMI ini?

Kalau Tun berasa ingin menebus kesilapan itu, nescaya akan ada jalan yang terbuka. Dan, saya akan bercerita tentang beberapa pilihan yang boleh Tun usahakan, menuju ke arah itu. Saya pun terpaksa mengarang panjang-panjang begini ekoran Meor dan rakan-rakannya yang tidak faham dengan maksud kedatangan surat ini.

Dan menjadi keperluan bagi saya menulis hal seumpama ini kerana mereka masih berfikir dalam kerangka pemikiran Pak Cik Bakaruddin itu. Jika rakyat bawahan masih fikir begitu, bagaimana pula halnya dengan menteri-menteri? Tun fikirlah sendiri. Bukankah Tun yang lantik mereka?

(Ya Allah.. saksikanlah bahawa hamba cuba menyampaikan segala yang patut disampaikan.)

10:30 p.m, 2 Februari
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Bantahan, syor, maklumbalas anda boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.

Sunday, March 01, 2009

Agamawan bantah PPSMI, satu petanda baik!

Ali Bukhari Amir

Fuh! Lega.. Puas hati rasanya. Inilah yang Sudin mahukan. Iaitu, golongan agamawan, ulama', dan mufti yang berjuang secara berterus-terang menentang PPSMI ini.

Baru-baru ini di Madrasah An-Nur, Pendang, telah wujud Perisytiharan Muafakat Ulama' Membela Martabat Melayu dengan meletakkan bantahan ke atas PPSMI sebagai asas mula pergerakan membela martabat Melayu itu.

Sebagai orang Pendang, Sudin tentunya berasa amat berbangga. Dalam perisytiharan tersebut, Sudin meneliti satu persatu ayat-ayat perisytiharan itu..

Perisytiharan Pendang membantah PPSMI
1. MENOLAK perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan Negara,

2. MEMBANTAH penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekali gus bahasa Islam,

3. MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:

- Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai pengantar untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab.

"Dan demikianlah Kami wahyukan Al-Quran kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibu kota (Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang hari berkumpul (Qiamat) yang tidak diragukan adanya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka." (Asy-Syura: 7)

- Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al-Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia.

"Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti" (Surah Yusuf: 2)

"Dan demikian Kami menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-ulang di dalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa atau agar (Al-Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka." (Surah Taha: 113)

"Dan sungguh telah Kami buatkan dalam Al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tiada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa." (Az-Zumar: 27-28)

"(Al-Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui." (Fussilat: 2-3)

"Demi kitab (Al-Quran) yang jelas. Kami jadikan Al-Quran dalam bahasa Arab agar kamu mengerti (Al-Zukhruf: 3)

Semua ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia.

Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam daripada Al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa Inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini.

4. MENDESAK supaya perlaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain, di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat.

5. MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain,

6. MENDESAK agar tulisan Jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan negara termasuk mengalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan Jawi sebagai identiti negara,

7. MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengenepikan bahasa Melayu sebagai pengantar matapelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini,

8. MENGGESA supaya penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor negara semada awam mahupun swasta.

9. MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdalih dengan alasan pencapaiaan UPSR, PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI,

10. MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuatu bangsa dan negara.

11. MENGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar di semua institusi pendidikan negara agar bersama bersatu untuk membantah perlaksanaan PPSMI.

Menunggu ustaz-ustaz 'mengamuk' sakan
Sebelum ini, Sudin ternanti-nanti bilakah waktunya ulamak, agamawan, mufti mahu bergabung tenaga, bahu-membahu dalam urusan membantah PPSMI ini.

Sekarang, waktunya telah tiba. Berkhutbahlah di mimbar-mimbar Jumaat saban minggu. Biar saban minggu, bantahan sekilas berhubung PPSMI jelas kedengaran. Dalam masyarakat Melayu hari ini, pemimpin mereka adalah orang-orang yang berketayap dan berjubah. Itulah yang masih tergambar dalam fikiran mereka selama ini.

Sama ada suka atau tidak dengan kenyataan ini, khalayak harus menerima hakikat ini. Kalau ustaz-ustaz menyebut sesuatu, mereka pegang isi percakapan mereka bagaikan menatang sedulang wahyu yang melimpah dari langit.

Jangan dipisahkan Melayu daripada Islam. Melayu itu raganya, Islam itu jiwanya. Raga Melayu membela Islam dan sebab itulah Allah s.w.t telah menggerakkan hati-hati pejuang terdahulu meletakkan kalimah 'Melayu itu adalah Islam' di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Orang Melayu sebelum kedatangan Islam telah menjadikan bahasanya sebagai bahasa untuk mengajarkan agama Hindu, kemudian Buddha dan seterusnya Islam. Namun, nenek moyang kita tak pernah tergerak di hati untuk mempertalikan hubungan bahasa Melayu dengan ajaran agama-agama dahulu.

Tiba-tiba, Islam datang dengan membawa pelita pencerahan. Sudin pernah terbaca bahawa, British mengetahui cara melemahkan Islam di Tanah Melayu itu ialah dengan cara merosakkan bahasa itu termasuk tulisannya Jawi yang ada kaitan rapat dengan tulisan Arab dalam al-Quran.

Stamford Raffles, penjajah Singapura pun dapat menulis Jawi 'berkat' asuhan gurunya Munsyi Abdullah.

Namun, perlahan-lahan tulisan Jawi dikurangi penggunaannya. Sedikit demi sedikit orang Melayu diperbodohkan, akhirnya jadilah mereka sebagai penentang bahasa Melayunya sendiri dengan menyokong PPSMI.

Sebenarnya, Sudin tahu, bahkan semua orang tahu, misalnya kalau tiba-tiba Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa apa-apa yang beliau lakukan suatu masa dahulu adalah salah, (khasnya dalam isu PPSMI), maka tiba-tiba Melayu yang sokong PPSMI itu akan terdiam dengan sendirinya.

"Sebetulnya.. PPSMI itu silap sebenarnya," kata Tun Mahathir. Pada saat itu, yang menyokong PPSMI akan membisu seribu kata. Itu keyakinan Sudin. Tapi, Tun rasa malu nak mengaku. Walhal kalau Tun mengaku, maka beliau tidak akan dihinakan. Malah, beliau menjadi wira kerana berani mengaku kesalahan dan kesilapannya.

Bertaubatlah Tun sebelum 'wafat'
Sudin harap Tun akan berbuat sesuatu. Dan kita akan lihat bagaimana pula Hishammuddin mahu bertindak. Kalaulah cabaran Salahuddin Ayub itu dibakulsampahkan kerana takut berdebat, maka adakah Hishammuddin berani bertindak dengan kembali kepada dasar yang asal?

(Jangan malulah Hishammuddin.. kami pun tak kata apa-apa aih..)

Cuma ada satu sebab sahaja mungkin, kenapa PPSMI tidak dimansuhkan. Ia adalah disebabkan faktor wang, ekonomi. Segala peralatan komputer riba, buku-buku teks telah dicetak termasuk latihan kursus PPSMI ke atas guru-guru menelan belanja puluhan ribu dan mungkin jutaan ringgit.

"Rugi kalau nak mansuhkan terus begitu saja," demikian kata seorang pegawai kementerian pelajaran kepada Sudin pada suatu hari. Cait! Sepupu Hishammuddin, Najib Razak yang menghangusrentungkan wang kerajaan (baca: wang rakyat) di padang golf untuk pembangunan Golf Remaja tu tak rugi dan tak membazir pula?!

Jika Umno bijak, nak rugi sedikit atau mahu rugi banyak? Lebih baik mansuhkan sekarang. Rugi sedikit tidak apa jangan sampai rugi banyak pada masa hadapan hingga membabitkan keresahan rakyat, anak-anak sekolah, guru-guru yang sedang mengajar PPSMI itu.

"Saya terpaksa ajar Matematik dalam B.I ketika nazir datang saja," kata seorang guru kepada Sudin. "Jadi lepas nazir pulang, saya ajar Matematik dalam bahasa Melayu."

Secara tak langsung, guru-guru terpaksa menjadi hipokrit. Bukan salah guru-guru. Mereka mahu didik anak bangsa agar faham ilmu. Tapi, dalam masa yang sama, mereka takut dikenakan tindakan.

Khalifah terdahulu ramai yang menyamar untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya. Mahukah Hishammuddin menyamar? Siapa pun tak percaya Hishammuddin dapat berbuat begitu. Hishammuddin bukan watak jelmaan khalifah dahulu.

"Saya sibuk dengan acara lain," mungkin itu salah satu helah Hishammuddin. Jika Hisham menyamar turun sekolah, alamat dia akan malu kerana melihat betapa gagalnya PPSMI itu. Tun Mahathir telah bersara. Mungkinkah beliau dapat peruntukkan waktu untuk membuat penyamaran itu?

Menyamarlah sesekali Tun seperti khalifah yang adil pada suatu masa dahulu. Siasatlah sekolah kita sebelum Tun terlambat. Semua ini perlu Tun lakukan sebelum Tun 'wafat'.

Datanglah buat kejutan tiba-tiba di sebuah sekolah dan lihatlah hasil kelak. Buat catitan sedikit sepertimana yang Tun biasa lakukan dulu. Bagaimana Tun? Boleh tak buat penyamaran?

9:30 p.m, 1 Mac
Sekolah Pemikiran Kg Baru

http://bmppsmi.blogspot.com

Syor, maklumbalas, pandangan boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.