Monday, November 26, 2007

Polemik Malaysia sebagai Negara Islam bergema di Persidangan Skima

Oleh Ali Bukhari Amir

Benarkah negara Malaysia boleh bertukar kepada sebuah negara yang berorientasikan Melayu dan bersendikan hukum Islam dalam realiti politik hari ini? Mengulas hal ini pensyarah kuliah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari berkata, hal tersebut tidak mustahil boleh dilaksanakan.

“Kita hanya perlukan kesungguhan berpolitik. Orang-orang Melayu daripada pelbagai aliran parti dapat bergabung memerintah dan membentuk 2/3 daripada suara majoriti ahli Parlimen sebenarnya. Ini tidak mustahil dan kita tidak perlukan suara bangsa lain untuk memerintah.

“Sebenarnya Perlembagaan Persekutuan seperti yang ada pada hari ini jangan dilihat sebagai sesuatu yang menyekat perkembangan Islam malah ada beberapa perenggan yang sebenarnya amat membantu kita dalam mempertahankan Islam itu sendiri,” kata beliau.

Kenyataan Dr Abdul Aziz itu ketika membentangkan pandangannya mengenai Negara Islam Malaysia dalam Persidangan Skima di Kota Bharu tanggal 27 Oktober lalu mengundang satu protes yang tidak dijangka. Ia diikuti dengan pandangan sinikal seorang peserta diikuti orang lain yang juga berminat membincangkan hal itu secara rasional.

Menurut beliau, jika parti bukan Melayu, atau parti dalam kalangan bukan Muslim tidak dapat menerima kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam, Umno sebagai parti pemerintah boleh ‘membuang’ parti itu daripada Barisan Nasional.

“Mereka (Umno) boleh tolak parti-parti itu seperti mana yang mereka telah lakukan terhadap Pas ketika parti itu dibuang daripada Perikatan, akhir 70-an ketika darurat berlaku,” ujarnya.

Untuk rekod, PAS keluar daripada Barisan Nasional tanggal 13 November 1977, serta tewas dalam suasana Darurat ketika pilihan raya negeri Kelantan berlangsung pada Mac 1978.

“Saya tahu ramai kalangan kita yang sandarkan kenyataan almarhum Tunku mengenai status Malaysia sebagai negara sekular.

“Tapi, hakikatnya kenyataan Tunku tidaklah mewakili Raja-Raja Melayu yang diiktiraf sebagai Ketua Agama sekali gus menyebabkan pendirian itu desekularisasi mengikut Perlembagaan,” jelasnya sambil menegur sikap sesetengah pihak yang sentiasa merujuk kenyataan Tunku

Apakah usul Tunku yang menyebabkan Malaysia seringkali dianggap sebagai negara sekular?

Sepintas lalu mengenai sekular di Malaysia
Suatu bab yang agak menarik dibincangkan di sini ialah huraian Abdul Rahman Abdullah mengenai faham sekular di Malaysia. Dengan opanjang lebar, Abdul Rahman menulis …

…bahkan Umno juga tidak terkecuali daripada pengaruh sekularisme Turki melalui pimpinan Dato’ Onn Jaafar, yang kebetulannya mempunyai ibu dari keturunan Turki, iaitu Rugayyah Hanum. Pimpinannya dalam menggerakkan nasionalisme Melayu telah membuka pintu hubungan yang mesra antara Tanah Melayu dan Turki. (A. C. Miller melalui bukunya, The Impact of the Turkish Revolution on Malaya pada tahun 1986.)

Dengan terserahnya pimpinan Umno kepada Tunku Abdul Rahman, semakin jelaslah arah perjuangannya kepada pembentukan sebuah negara sekular yang merdeka. Dalam sebuah memorandum Umno kepada Suruhanjaya Reid semasa perlembagaan merdeka digubal, terdapat cadangan berikut:

“Ugama bagi Malaya hendaklah Ugama Islam. Pengakuan dasar ini tidaklah akan mengenakan apa-apa sekatan bagi orang-orang bukan Islam untuk menganuti dan mengamali agama mereka sendiri, dan tidaklah akan membawa pengertian bahawa negara ini bukan sebuah negara sekular.” --- (Sumber: Fail Sulit Umno/SUA 108/56, bil. 800, bertarikh 14 April 1956)

Hasil daripada memorandum Umno tersebut, akhirnya pihak Suruhanjaya mengeluarkan kertas putih yang menegaskan penerimaan cadangan Umno tersebut.

“There has been included in the proposed Federal Constitution a declaration that Islam is the religion of the Federation. This will in no way effect the present position of the Federation as a secular state.” --- (Legislative Council Paper, No. 42 of 1957)

Berasaskan rekod perundangan seperti ini, tulis Abdul Rahman, maka Hakim Dato’ Hashim Yeop A Sani menegaskan dalam akhbar Watan pada Mac 1985: “Di sini jelaslah bahawa tujuan penggubal-penggubal Perlembagaan sebenarnya ialah hendaklah menjadikan Persekutuan sebuah negara sekular.”

Di dalam suatu wawancara di majalah berita Era pada 1985, Sultan Azlan Shah, bekas Ketua Hakim Negara bahawa negara Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Perancang penjajahan British di Mesir, Lord Cromer menegaskan menerusi bukunya Modern Egypt: “England was prepared to grant political freedom to all her possession as soon as a generation imbued through English culture were ready to take over, but under circumstances would the British for a single moment tolerate an Islamic state.”

Sekali lagi, A. C Miller menerusi makalahnya bertajuk Review of Indonesian and Malaysian Affairs, menyebutkan hal kedudukan negara sekular Malaysia sebagai berikut: “Finally, encouraged by British influence, they slowly arose in Malaya a secular nationalist movement. The movement leaders propagated notions of the state and of law which challenged not only the kerajaan – monarchial system but also the Sharia-minded ideal of a society based on God’s law.”

Polemik Negara Islam menuntut kebijaksanaan ulamak – cendekiawan
Perselisihan pandangan di antara Dr Abdul Aziz Bari dengan para peserta itu bagaimanapun, secara ringkasnya dapatlah dilihat sebagai kesan daripada perbezaan latarbelakang akademik dan pengalaman watak-watak yang pernah terlibat dalam debat Negara Islam sebelum ini.

Iaitu pandangan Dr Abdul Aziz menggunakan neraca akademik dan kebanyakan peserta yang terdiri dalam kalangan ahli politik atau pengikut ahli politik (agamawan) menggunakan neraca kepartian. Dr Abdul Aziz ketika cuba mengulas semula hal itu berkata, beliau berpandangan demikian setelah berdebat bersama golongan liberal yang memurtadkan Muslim.

“Pihak ini seringkali berhujah dengan menyatakan-apalah salahnya menukar agama? Lagi pun ini bukannya Negara Islam. Dan, banyak lagi hujah yang dikemukakan dengan bersandarkan bahawa Malaysia bukan Negara Islam dengan tujuan memurtadkan orang kita,” katanya.

“Kita tidak mahu berlaku seperti mana yang terjadi dalam Piagam Jakarta dahulu, iaitu ketika mahu diletakkan undang-undang Islam, maka hal itu dibantah demi menjaga sensitiviti kaum yang lain,” katanya sambil mendedah pengalamannya yang sering berdepan dengan peguam bukan Muslim dalam kes Lina Joy dan kes murtad yang lain.

### TAMAT ###