Wednesday, December 24, 2008


Ali Bukhari Amir
Wed | Dec 24, 08 | 3:44:00 pm MYT

Baru-baru ini, Menteri Pelajaran Hishammuddin Tun Hussein mula menunjukkan maklumbalasnya berhubung ugutan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) melalui kenyataan Ketua Satu pertubuhan itu, Tan Sri Pendeta Ismail Hussein.     

Akhbar melaporkan kenyataan Hishammuddin sebagai: "Ugutan Gapena untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Kementerian Pelajaran tidak membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)."

Hishammuddin dilaporkan berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak membina malahan menyulitkan pihak kementerian membuat keputusan demi masa depan anak-anak bangsa.

Dengan tiba-tiba, Hishamudin mengeluh bahawa tindakan Gapena tidak banyak membantu kerajaan. Soalan yang amat penting ialah, adakah dasar PPSMI itu banyak membantu Hishammuddin dan para pelajar selama ini? Sebenarnya, PPSMI itu sendiri adalah bebanan paling besar daripada Tun Dr Mahathir yang kini terhempap ke atas pundak Kementerian Pelajaran itu.

Peruntukan PPSMI banyak penyelewengan?
"Jika dibuat tinjauan dan siasatan berhubung peruntukan untuk melaksanakan PPSMI ini di sekolah-sekolah, kita menemui banyak penyelewengan," kata beliau.

Hishammuddin pasti sedar masalah ini berlaku. Tetapi, adakah laporan ke atas penyelewengan ini boleh disiarkan dalam
 akhbar-akhbar secara terbuka? Ini adalah salah satu contoh yang menunjukkan PPSMI membawa kesan yang parah ke atasnya sendiri. Tetapi, Hishammuddin tentunya akan menafikan berhubung wujudnya penyelewengan-penyelewengan tersebut.

Jadi, kembali kepada tajuk bualan asal, maka sudah tentulah ugutan Gapena termasuk ancaman mahu membuat laporan polis oleh para pimpinan Gapena itu tidak banyak membantu beliau, malah ia akan semakin menyulitkan urusan Hishammuddin.

Namun, Hishammuddin perlu sedar suatu perkara. Iaitu, s
ama ada ugutan dan ancaman Gapena itu wujud atau tidak, hakikat bahawa PPSMI itu sebagai suatu bebanan berat yang perlu digalasnya tak boleh dinafikan lagi. Jadi, bukan salah Gapena mengugut. Tanpa ugutan Gapena sekali pun, Hishammuddin sudah berdepan dengan masalah, inikan pula ketika beliau sedang berdepan dengan ugutan.

Namun, Hishammuddin tidak mengalah. Beliau kembali menyalakan pertanyaan, "Mengapa sekarang selepas enam tahun dasar ini dilaksanakan, baru Gapena mahu mengugut dan mengancamnya?"

"Lebih-lebih lagi apabila kebelakangan ini sudah lima perbincangan meja bulat diadakan dan sekarang hanya tinggal peringkat akhir untuk membuat rumusan," kata Hishammuddin lagi.

Bagi menjawab soalan cepu emas ini, biarlah Gapena sendiri yang menjawabnya. Cuma, sebagai peserta yang hadir di dalam forum dan seminar Jumaat lalu, saya rasa terpanggil untuk menilai semula kenyataan Hishammuddin itu.

Untuk pengetahuan Hishammuddin, sejak lemasnya BN dalam tsunami politik menerusi pilihan raya umum Mac lalu, Gapena telah menganjurkan Kongres Permuafakatan Melayu di Persada, Johor Mei lalu.

Dalam kongres itu, telah wujud bantahan demi bantahan ke atas dasar PPSMI hatta dalam kalangan warga Umno sendiri.

Pada hari terakhir kongres tersebut, dalam satu sidang media, saya terdengar lafaz Pendeta Ismail Hussein lebih kurang begini bunyinya: "Semoga pimpinan negara akan hormatkan keputusan kongres ini, memandangkan kami ini adalah guru-guru mereka sendiri. Mungkin mereka akan segan dan hormat kepada kami."

Sesuai dengan gelarannya sebagai pendeta atau guru, maka Tan Sri Ismail mungkin berharap, segala laungan saranan yang bergema lewat kongres tersebut dapat dilantunkan terus ke dalam alam fikiran pimpinan negara khasnya Hisha
mmuddin yang berkeras mempertahan dasar PPSMI sebelum ini.

Tapi ternyata, bukan tradisi Umno sekarang menghormati guru dan pendeta. Yang memegang tampuk pemerintahan parti bukan lagi bekas-bekas guru dan mereka yang punya jiwa pendeta. Lalu dengan biadap, bantahan kongres itu ke atas PPSMI telah ditutup sebelah mata.

Gapena sebagai penganjur kongres mula menakung amarahnya di lembah prasangka. Kocakan kata-kata biadap Hishamuddin menyebabkan riak gelombang air yang tenang itu mula menggunung tinggi, membadai sebagai tsunami!

Gapena hilang sabar, tapi bersediakah Hishammuddin pertahan PPSMI?
Ternyata, saranan orang-orang Gapena yang pro-Umno sendiri tidak diendahkan. Maka, inilah puncanya setelah enam tahun sang guru pendeta cuba berbahasa dengan baik, tapi Hishammuddin tetaplah tegar dan degil dengan keputusannya. Apabila teguran demi teguran mula dinilai sebagai sampah, maka hukumanlah jawapannya.

Terbaru, Gapena mendakwa bahawa pelaksanaan PPSMI secara jelas telah mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang memutuskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam laporan terbaru, Ismail sendiri menegaskan bahawa tindakan keras itu adalah kemuncak kekecewaan Gapena, kalangan cendekiawan termasuk pencinta bahasa Melayu selepas desakan supaya PPSMI tidak diteruskan, tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada kerajaan.

Maka, selepas hampir lima ke enam tahun desakan secara baik tidak diendahkan, maka kini tibalah waktunya Hishammuddin dikenakan tindakan keras. Inilah pengajaran keras yang harus dikenakan ke atas Menteri Pelajaran.

Kita sering melihat, kalau murid-murid bersikap nakal, maka rotan gurulah yang menjadi penawarnya. Kini, pendeta mula merotan Hishammu
ddin melalui libasan kata-kata. Namun, 'murid-murid yang nakal' seperti Hishammuddin Tun Hussein serta Tun Dr Mahathir ini perlulah dibawa ke mahkamah dan dibicarakan kesalahan mereka dalam membentuk dan mempertahan PPSMI selama ini.

Ada baiknya, Hishammuddin diberi peluang memberikan penjelasan, kenapakah PPSMI perlu dipertahankan. Tapi, bersediakah Hishammuddin mempertahan idea dan pendapatnya itu?

Saya syor, Gapena dan Kumpulan Prihatin membawa Hishammudin bersama Tun Abdul Rahman Yaakob selaku bekas Menteri Pelajaran, mengusung dan mengheret perdebatan, muzakarah dan muqabalah di dalam isu PPSMI ini.

Lihatlah bagaimanakah kedua-dua tokoh ini mahu pertahankan pandangan mereka. Kita semua maklum bahawa Tun Abdul Rahman Yaakob tidak pernah bersetuju dengan dasar PPSMI ini.

Tapi, persoalan yang maha penting, adakah Hishammuddin berani ke depan untuk meraih sokongan guru-guru untuk memihak kepada hujahnya? Guru-guru semuanya mestilah diwajibkan menonton acara debat muzakarah tersebut.

Kalau muzakarah, muqabalah, debat ini dapat dilangsungkan dan ditakdirkan beliau kalah berhujah, adakah Hishammuddin bersedia menerima kekalahan dengan memansuhkan PPSMI?

http://bmppsmi.blogspot.com

24 Disember, 3:13 p.m
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Orang-ramai dan guru-guru di seluruh Malaysia yang mengajar Sains dan Matematik dalam BI digalakkan mengirim saranan dan bantahan ke mel-e ibnuamir@yahoo.com dengan menulis tajuk, perkara, 'Bantah PPSMI'. _ 

8 comments:

Leenoh said...

Mengajar sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris menghakis sebahagian daripada objektif pengajaran.
Objektif pengajaran Sains dan Metametik secara umumnya ialah supaya pelajar faham tajuk yang ajar semasa secara kognitif dan afektif sekurang-kurangnya tetapi,disebabkan pelajar tidak memahami bahasa Inggeris guru terpaksa mengambil sebahagian masa pengajaran untuk menerangkan atau memberi faham tentang bahasa Inggeris yang pelajar tidak menguasainya. Terdapat guru sendiri kurang bersedia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. sekian lama istilah Melayu dalam pengajaran dua subjek ini telah diasimilasikan atau telah dimantapkan di dalam diri guru tersebut beserta hajat melunaskan wawasan yang telah dijanjikan setelah negara merdeka.Iaitu pengantar bahasa Melayu di semua sekolah dan institusi Pengajian Tinggi.
Untuk memantapkan bahasa inggeris ajarlah mereka melalui bahasa Inggeris, untuk memantapkan bahasa Arab ajarlah mereka melalui subjek bahasa Arab dan untuk memantapkan bahasa Manderin ajarlah mereka melalui subjek tersebut dan tidak perlu mengganggu gugat dan merosakkan subjek lain.
Wassalam.

Anonymous said...

Kerajaan atau Kementerian sebenarnya tidak serius dalam melaksanakan dasar PPSMI ni, dalam masa lima tahun awal pelaksanaannya tidak ada seorangpun pegawai hakiki berkelayakan Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang dilantik di Jabatan Negeri dan daerah. Kalau adapun itu adalah atas inisiatif jabatan masing-masing dan tenaganya dipinjam dari sekolah. Sekolah anak-anak kita asyik tak cukup guru, rupa-rupanya guru ditarik ke PPD atau JPN. Prasarana untuk melaksanakan dasar ini amat lemah, bagaimana ia boleh menyakinkan kita bahawa ia dasar yang berjaya?Jumlah peruntukan yang terlalu besar telah dibelanjakan tapi hasilnya tak setimpal.
Keputusan UPSR sudah cukup untuk membuktikan dasar ini gagal - lihat saja berapa ramai pelajar yang tidak cemerlang malah tidak lulus dalam sains. Malangnya ada pula pakar yang boleh putar belit maksud sesuatu data secara terancang untuk meyakinkan pemimpin. sebab itulah pada mulanya menteri kata tunggu result UPSR untuk buat keputusan, kemudian kata ia tak boleh bergantung kepada UPSR semata-mata... apa ni?
Memang patut sangat kita bantah..!

Anonymous said...

layari blog Barisan Cendekiawan Muda Melayu, yang juga turut membincangkan isu-isu berkaitan PPSMI..sama-sama kita perjuangkan bahasa kita..semoga usaha ini tidak sia-sia..sama-sama kita usahakan,,

Anonymous said...

Layari Blog Barisan Cendekiawan Muda Melayu, yang turut membincangkan isu-isu berkaitan PPSMI, semoga usaha yang dilakukan ini tidak sia-sia,sama-sama doakan..

Anonymous said...

Layari Blog: Barisan Cendekiawan Muda Melayu, yang turut membincangkan isu-isu berkaitan PPSMI

Barisan Cendekiawan Melayu Muda said...

Layari Blog: Barisan Cendekiawan Muda Melayu, yang turut membincangkan isu-isu berkaitan PPSMI

odeen said...

Saya sebagai guru amat tidak bersetuju dengan PPSMI. Saya memang tidak bersetuju dengan dasar ini sejak ia diperkenalkan 2003 lagi.saya mempunyai beberapa alasan yang boleh dikongsi bersama kepada para cendiakawan dan pihak-pihak yang terlibat.

1. Saya merasakan PPSMI ini secara sistematik telah mengabaikan guru-guru yang mengajar bahasa melayu di semua sekolah di Malaysia. Sebagai contoh insentif 10% yang diberikan kepada guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris telah menunjukkan bahawa subjek Bahasa Melayu sudah tidak penting. Malah insentif 10% ini telah diberikan juga kepada guru yang mengajar Bahasa Inggeris(BISP) yang memang pengkhususan mereka selama ini dengan alasan itu adalah subjek kritikal. Apakah kerana prestasi Bahasa Inggeris dalam peperiksaan awam yang lemah maka mereka diberikan insentif ini yang kononnya memberi motivasi kepada mereka untuk meningkatkan prestasi Bahasa Inggeris. Namun keputusannya bahasa inggeris tetap menjadi subjek pembunuh di sekolah dalam peperiksaan awam terutama kepada pelajar luar bandar. Jadi saya menyeru supaya kerajaan menghapuskan terus PPSMI ini. Jika tidak prestasi subjek BM akan terus menurun kerana guru BM kurang motivasi dalam mengajar subjek BM kerana seolah-olah diabaikan. Jika pihak kerajaan ingin meneruskan juga bagi juga insentif 10% kepada guru yang mengajar BM atau laksanakan juga BMSP. Apakah apabila prestasi BM menurun barulah kerajaan akan memberi 10% juga kepada guru BM dan menganggap BM adalah subjek kritikal?

2. Subjek Sains dan Matematik amat sukar difahami oleh pelajar apabila diajar dalam Bahasa Inggeris. Sebelum ini pun semasa diajar dalam Bahasa Melayu atau dalam bahasa ibunda mereka, pelajar ini sukar memahami subjek berkenaan apa lagi bila diajar dalam Bahasa Inggeris. Malah prestasi murid dalam ujian bulanan terutama sekolah luar Bandar amat teruk sekali. Sebagai contoh di sekolah saya hampir setiap kelas mengalami masalah yang sama. Daripada 20 orang murid dalam sesuatu kelas hanya 4 atau 5 orang sahaja yang lulus subjek berkenaan. Masalah ini lebih teruk dalam subjek Sains. Ini kerana subjek Sains ini perlu pemahaman yang lebih mendalam untuk pelajar menguasainya. Bukan seperti anggapan sesetengah pihak bahawa pelajar akan pandai dalam MT dan Sains apabila diajar dalam Bahasa Inggeris.

3. Apabila keputusan UPSR diumumkan baru-baru ini ramai beranggapan bahawa PPSMI telah berjaya. Namun hakikatnya PPSMI ini hanya berjaya dari segi fizikalnya sahaja namun dari segi dasar dan tujuan utama PPSMI ini diwujudkan ia telah menunjukkan kegagalan. Tujuan utama PPSMI ini diwujudkan adalah seolah-olah hanya untuk mengatasi prestasi pelajar dalam BI. Malah ramai mitos yang kita dengar bahawa prestasi subjek MT dan Sains akan meningkat kerana banyak istilah Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris. Jadi bila diajar dalam Bahasa Inggeris pemahaman murid akan lebih meningkat. Ini adalah suatu yang sangat mengarut. Prestasi murid meningkat dalam MT dan Sains bukan kerana ia diajar dalam Bahasa Inggeris tetapi kerana pemahaman yang mendalam tentang sesuatu konsep dalam subjek berkenaan. Saya sendiri sejak dari sekolah rendah belajar kedua-dua subjek berkenaan dalam Bahasa Melayu. Namun prestasi MT dan Sains saya tetap tinggi. Contoh mudah, Dr Sheikh Muzaffar sendiri adalah hasil dari pengajaran MT dan Sains dalam Bahasa Melayu. Malah banyak pakar-pakar Matematik dan Sains hari ini adalah hasil pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Jadi tujuan dan dasar sebenar kementerian pelajaran telah tersasar jauh. Matlamat kerajaan untuk melahirkan banyak pakar dalam bidang sains dan matematik akhirnya gagal suatu hari nanti sebaliknya melahirkan pelajar yang mahir dalam Berbahasa Inggeris dan melahirkan Bahasa Melayu Rojak. Adakah ini tujuan dan dasar kerajaan yang sebenarnya?

4. Guru menjadi seolah-olah tidak ikhlas mengajar apabila PPSMI ini diperkenalkan di sekolah sejak 2003. Sebagai contoh, seorang guru bahasa melayu di sekolah saya telah menolak untuk mengajar bahasa melayu dari tahun 1 hinnga tahun 6 dan lebih rela untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sedangkan sebelum ini beliau telah mengajar subjek BM pada mana-mana tahap kelas. Sebabnya tak lain tak bukan kerana insentif 10%. Jadi akibat dasar ini guru menjadi tidak bertanggungjawab dan materialistik. Malah seolah-olah BM menjadi subjek keempat penting selepas BI, MT dan Sains. Guru lebih suka mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris meskipun itu bukan opsyen(pengkhususan) utama mereka. Paling malang sekali prestasi subjek BI, MT dan Sains menjadi semakin merosot meskipun pelbagai insentif diberikan kepada guru yang mengajar subjek berkenaan. Malah guru-guru yang mengajar subjek berkenaan kadang-kadang mengajar ala kadar tanpa aktiviti intensif untuk menigkatkan prestasi subjek berkenaan. Sebaliknya guru BM terus dibebani dengan aktiviti atau program-program terkini dari kementerian seperti KIA2M, Program Pemulihan Tahun 4 dan 6 dan banyak lagi selain program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah sendiri untuk meningkatkan prestasi dan minat pelajar dalam BM.

5. Dasar PPSMI ini lebih bermotifkan politik daripada meningkatkan prestasi BI. Mungkin pihak kerajaan ingin membuktikan kepada rakyat bahawa dasar yang mereka wujudkan tidak pernah gagal dan bertujuan untuk membantu meningkatkan prestasi pelajar. Ternyata dasar berkenaan telah gagal. Jika ingin membuktikan ia berjaya kenapa peperiksaan UPSR dijalankan dalam DWIBAHASA? Kenapa tidak dibuat dalam Bahasa Inggeris keseluruhannya? Pihak kerajaan tahu bahawa jika dibuat dalam Bahasa Inggeris keseluruhannya sudah tentu prestasi UPSR akan merosot teruk dalam subjek MT dan Sains. Sudah pasti ibu bapa akan membantah dasar berkenaan sekeras-kerasnya jika ramai anak mereka gagal dalam UPSR. Jadi jelas pihak kementerian pelajaran lebih mementingkan agenda politik daripada menyelesaikan masalah penguasaan murid dalam BI dan menigkatkan mutu pelajaran dalam MT dan Sains.

6. Mungkin orang kita masih memikirkan status yang beranggapan bahawa jika dapat menguasai Bahasa Inggeris maka akan dipandang tinggi. Jika setakat ingin dipandang tinggi tak payahlah belajar perkara lain lagi. Lebih baik semua subjek di sekolah mengajar Bahasa Inggeris sahaja. Pemain badminton dunia seperti LIN DAN dan ramai pemain bola sepak seperti Cristiano Ronaldo dan pemain tenis Rafael Nadal tidak menguasai BI dengan baik.Namun mereka berstatus dunia dan menjadi pemain ternama di dunia dan boleh ke mana-mana dalam dunia ini meskipun tidak menguasai BI dengan baik. Amat jelas untuk dipandang tinggi bukannya melalui penguasaan BI tetapi melalui penguasaan kita dalam bidang-bidang yang kita ceburi.

7. Cadangan saya untuk mengatasi masalah penguasaan murid dalam BI terutama kepada pelajar luar bandar bukannya mengorbankan penguasaan subjek MT dan Sains dengan mengajarnya dalam Bahasa Inggeris. Sebaliknya memperkasakan penguasaan BI dengan memperkenalkan program-progam terkini yang memudahkan murid menguasai subjek berkenaan. Selain itu, mutu pengajaran BI di sekolah harus diperbaiki seperti menambah masa mengajar BI dalam seminggu. Jika BM ada program KIA2M kenapa Bahasa Inggeris tiada program seperti ini. Daripada pihak kementerian pelajaran menghabiskan wang untuk memberi insentif 10% kepada guru yang mengajar subjek PPSMI termasuk BI ini adalah lebih baik pihak kementerian melaksanakan program atau memperkenalkan teknik yang boleh menigkatkan penguasaan pelajar dalam BI. Jika kita lihat hari ini pelajar boleh belajar membaca Al-quran dengan baik sejak kecil lagi meskipun orang yang mengajar hanyalah orang kampung yang tidak berkelulusan tinggi. Ini kerana pelbagai teknik mengajar Al-quran telah diperkenalkan. Saya amat tertarik apabila pelbagai teknik telah diperkenalkan bukan sahaja oleh media, organisasi tertentu malah dari orang perseorangan untuk meningkatkan mutu pembacaan Al-quran. Pelbagai teknik membaca Al-quran bukan sahaja dapat meningkatkan penguasaan tajwid malah lagunya. Sekaligus meningkatkan mutu pembacaan Al-quran itu sendiri. Malah setiap tahun pertandingan membaca al-quran dijalankan. Begitu juga Bahasa Arab, pelbagai teknik diperkenalkan untuk pelajar mudah menguasainya. Namun perkara sebegini tidak berlaku dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam BI. Malah seolah-olah tidak diambil berat langsung oleh pihak kementerian pelajaran.

Diharap pihak berkenaan terus mendesak untuk menghapuskan PPSMI ini yang hanya bermotif politik bukan untuk membantu pelajar(rakyat) terutama pelajar luar bandar.

kassim said...

Saya terpanggil untuk bersama-sama memberikan pandangan dalam pengajaran Sains Dan Matematik dalam bahasa inggeris (PPSMI). Perlaksanaan dasar ini telah pun dimulakan pada tahun 2003 berasaskan arahan daripada kepimpinan negara pada masa itu dengan melihat kepentingan bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dalam era globalisasi.

Matlamat utama yang digariskan oleh kepimpinan negara pada masa itu adalah bertujuan untuk mempersiapkan generasi baru negara yang berkemahiran tinggi dalam sains dan teknologi serta dapat menguasai dengan baik bahasa ilmu di era globalisasi ini. Kepimpinan negara melihat jika kita tidak menyiapkan generasi yang mampu bersaing di era globalisasi ini kita akan terus ketinggalan dalam era tersebut. Atas dasar preparation for the generation inilah maka kepimpinan negara pada masa 2003 nekad untuk melaksanakan dasar ini.

Ketamadunan negara kita atau ketamadun bangsa melayu adalah tidak sama dengan ketamadun bangsa Rusia, Jerman, France, Jepun, Korea dan China. Ketamadun Bahasa Melayu adalah bahasa yang wujud dan diciptakan dengan bantuan krakter bristish iaitu kita mengunakan (A,B,C...Z). Bahasa Melayu tidak mempunyai krakter yang tersendiri seperti mana bahasa Rusia, Jerman, France, Jepun, China, Korea dan sebagainya yang mempunyai krakter mereka sendiri. Kewujudan sesuatu krakter bagi sesuatu bahasa itu menunjukkan bahawa bangsa tersebut mempunyai ketamadun yang tinggi. Mereka mampu maju dengan bahasa mereka kerana apabila buku-buku ilmiah diterjemahkan dalam bahasa mereka maksud dan erti istilah yang diterjemahkan menepati maksud sebenarnya.

Kita tidak boleh nafikan apabila buku-buku ilmiah dalam bidang sains dan teknologi diterjemahkan dalam bahasa melayu, ketepatan maksud dan erti sesuatu istilah yang diberikan dalam bahasa melayu amat mengelirukan kita sendiri. Saudara-saudara boleh mencuba membaca buku-buku ICT yang telah diterjemahkan dalam bahasa melayu yang berada dipasaran kemudian cuba mempraktikkannya, Adakah saudara mampu menggunakan buku tersebut sebagai rujukan???

Apakah dalam 50 tahun kita merdeka ini, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) atau Institut Terjemahan Negara Malaysia(ITNM) mampu untuk menterjemahkan buku-buku ilmiah dalam bidang kejuruteraan, kedoktoran, sains angkasa dan sebagainya kedalam bahasa melayu. Realitinya saudara-saudaraku kita masih tidak mampu untuk menterjemah buku-buku ilmiah bidang sains dan teknologi ke dalam bahasa melayu.