Sunday, March 01, 2009

Agamawan bantah PPSMI, satu petanda baik!

Ali Bukhari Amir

Fuh! Lega.. Puas hati rasanya. Inilah yang Sudin mahukan. Iaitu, golongan agamawan, ulama', dan mufti yang berjuang secara berterus-terang menentang PPSMI ini.

Baru-baru ini di Madrasah An-Nur, Pendang, telah wujud Perisytiharan Muafakat Ulama' Membela Martabat Melayu dengan meletakkan bantahan ke atas PPSMI sebagai asas mula pergerakan membela martabat Melayu itu.

Sebagai orang Pendang, Sudin tentunya berasa amat berbangga. Dalam perisytiharan tersebut, Sudin meneliti satu persatu ayat-ayat perisytiharan itu..

Perisytiharan Pendang membantah PPSMI
1. MENOLAK perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan Negara,

2. MEMBANTAH penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekali gus bahasa Islam,

3. MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:

- Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai pengantar untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab.

"Dan demikianlah Kami wahyukan Al-Quran kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibu kota (Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang hari berkumpul (Qiamat) yang tidak diragukan adanya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka." (Asy-Syura: 7)

- Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al-Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia.

"Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti" (Surah Yusuf: 2)

"Dan demikian Kami menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-ulang di dalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa atau agar (Al-Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka." (Surah Taha: 113)

"Dan sungguh telah Kami buatkan dalam Al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tiada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa." (Az-Zumar: 27-28)

"(Al-Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui." (Fussilat: 2-3)

"Demi kitab (Al-Quran) yang jelas. Kami jadikan Al-Quran dalam bahasa Arab agar kamu mengerti (Al-Zukhruf: 3)

Semua ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia.

Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam daripada Al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa Inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini.

4. MENDESAK supaya perlaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain, di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat.

5. MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain,

6. MENDESAK agar tulisan Jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan negara termasuk mengalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan Jawi sebagai identiti negara,

7. MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengenepikan bahasa Melayu sebagai pengantar matapelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini,

8. MENGGESA supaya penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor negara semada awam mahupun swasta.

9. MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdalih dengan alasan pencapaiaan UPSR, PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI,

10. MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuatu bangsa dan negara.

11. MENGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar di semua institusi pendidikan negara agar bersama bersatu untuk membantah perlaksanaan PPSMI.

Menunggu ustaz-ustaz 'mengamuk' sakan
Sebelum ini, Sudin ternanti-nanti bilakah waktunya ulamak, agamawan, mufti mahu bergabung tenaga, bahu-membahu dalam urusan membantah PPSMI ini.

Sekarang, waktunya telah tiba. Berkhutbahlah di mimbar-mimbar Jumaat saban minggu. Biar saban minggu, bantahan sekilas berhubung PPSMI jelas kedengaran. Dalam masyarakat Melayu hari ini, pemimpin mereka adalah orang-orang yang berketayap dan berjubah. Itulah yang masih tergambar dalam fikiran mereka selama ini.

Sama ada suka atau tidak dengan kenyataan ini, khalayak harus menerima hakikat ini. Kalau ustaz-ustaz menyebut sesuatu, mereka pegang isi percakapan mereka bagaikan menatang sedulang wahyu yang melimpah dari langit.

Jangan dipisahkan Melayu daripada Islam. Melayu itu raganya, Islam itu jiwanya. Raga Melayu membela Islam dan sebab itulah Allah s.w.t telah menggerakkan hati-hati pejuang terdahulu meletakkan kalimah 'Melayu itu adalah Islam' di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Orang Melayu sebelum kedatangan Islam telah menjadikan bahasanya sebagai bahasa untuk mengajarkan agama Hindu, kemudian Buddha dan seterusnya Islam. Namun, nenek moyang kita tak pernah tergerak di hati untuk mempertalikan hubungan bahasa Melayu dengan ajaran agama-agama dahulu.

Tiba-tiba, Islam datang dengan membawa pelita pencerahan. Sudin pernah terbaca bahawa, British mengetahui cara melemahkan Islam di Tanah Melayu itu ialah dengan cara merosakkan bahasa itu termasuk tulisannya Jawi yang ada kaitan rapat dengan tulisan Arab dalam al-Quran.

Stamford Raffles, penjajah Singapura pun dapat menulis Jawi 'berkat' asuhan gurunya Munsyi Abdullah.

Namun, perlahan-lahan tulisan Jawi dikurangi penggunaannya. Sedikit demi sedikit orang Melayu diperbodohkan, akhirnya jadilah mereka sebagai penentang bahasa Melayunya sendiri dengan menyokong PPSMI.

Sebenarnya, Sudin tahu, bahkan semua orang tahu, misalnya kalau tiba-tiba Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa apa-apa yang beliau lakukan suatu masa dahulu adalah salah, (khasnya dalam isu PPSMI), maka tiba-tiba Melayu yang sokong PPSMI itu akan terdiam dengan sendirinya.

"Sebetulnya.. PPSMI itu silap sebenarnya," kata Tun Mahathir. Pada saat itu, yang menyokong PPSMI akan membisu seribu kata. Itu keyakinan Sudin. Tapi, Tun rasa malu nak mengaku. Walhal kalau Tun mengaku, maka beliau tidak akan dihinakan. Malah, beliau menjadi wira kerana berani mengaku kesalahan dan kesilapannya.

Bertaubatlah Tun sebelum 'wafat'
Sudin harap Tun akan berbuat sesuatu. Dan kita akan lihat bagaimana pula Hishammuddin mahu bertindak. Kalaulah cabaran Salahuddin Ayub itu dibakulsampahkan kerana takut berdebat, maka adakah Hishammuddin berani bertindak dengan kembali kepada dasar yang asal?

(Jangan malulah Hishammuddin.. kami pun tak kata apa-apa aih..)

Cuma ada satu sebab sahaja mungkin, kenapa PPSMI tidak dimansuhkan. Ia adalah disebabkan faktor wang, ekonomi. Segala peralatan komputer riba, buku-buku teks telah dicetak termasuk latihan kursus PPSMI ke atas guru-guru menelan belanja puluhan ribu dan mungkin jutaan ringgit.

"Rugi kalau nak mansuhkan terus begitu saja," demikian kata seorang pegawai kementerian pelajaran kepada Sudin pada suatu hari. Cait! Sepupu Hishammuddin, Najib Razak yang menghangusrentungkan wang kerajaan (baca: wang rakyat) di padang golf untuk pembangunan Golf Remaja tu tak rugi dan tak membazir pula?!

Jika Umno bijak, nak rugi sedikit atau mahu rugi banyak? Lebih baik mansuhkan sekarang. Rugi sedikit tidak apa jangan sampai rugi banyak pada masa hadapan hingga membabitkan keresahan rakyat, anak-anak sekolah, guru-guru yang sedang mengajar PPSMI itu.

"Saya terpaksa ajar Matematik dalam B.I ketika nazir datang saja," kata seorang guru kepada Sudin. "Jadi lepas nazir pulang, saya ajar Matematik dalam bahasa Melayu."

Secara tak langsung, guru-guru terpaksa menjadi hipokrit. Bukan salah guru-guru. Mereka mahu didik anak bangsa agar faham ilmu. Tapi, dalam masa yang sama, mereka takut dikenakan tindakan.

Khalifah terdahulu ramai yang menyamar untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya. Mahukah Hishammuddin menyamar? Siapa pun tak percaya Hishammuddin dapat berbuat begitu. Hishammuddin bukan watak jelmaan khalifah dahulu.

"Saya sibuk dengan acara lain," mungkin itu salah satu helah Hishammuddin. Jika Hisham menyamar turun sekolah, alamat dia akan malu kerana melihat betapa gagalnya PPSMI itu. Tun Mahathir telah bersara. Mungkinkah beliau dapat peruntukkan waktu untuk membuat penyamaran itu?

Menyamarlah sesekali Tun seperti khalifah yang adil pada suatu masa dahulu. Siasatlah sekolah kita sebelum Tun terlambat. Semua ini perlu Tun lakukan sebelum Tun 'wafat'.

Datanglah buat kejutan tiba-tiba di sebuah sekolah dan lihatlah hasil kelak. Buat catitan sedikit sepertimana yang Tun biasa lakukan dulu. Bagaimana Tun? Boleh tak buat penyamaran?

9:30 p.m, 1 Mac
Sekolah Pemikiran Kg Baru

http://bmppsmi.blogspot.com

Syor, maklumbalas, pandangan boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.

4 comments:

Hasbullah Pit said...

Jemput baca hujah2 PPSMI di blog saya
DI SINI

HBM Consultant said...

PPSMI menyedarkan ramai orang Melayu supaya memilih pemimpin yang benar-benar MELAYU dan benar-benar ISLAM.. bukan pemimpin yang bergelar Melayu tetapi menggadaikan bahasa Melayu dan menyisihkan Islam.. =)

webmaster said...

Untuk makluman Saudara, perisytiharan tersebut dibuat sempena dengan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Kedah.

Leenoh said...

Biar Islam mengajar orang Melayu kerana kekuatan raga ada pada jiwa.Bahasa jiwa bangsa, Islam jiwa Melayu. Melayu hanyalah rangka tanpa Islam Melayu reput.
Siapa yang mampu lancarkan sekali lagi Bulan Bahasa dan Bahasa Jiwa Bangsa.
sekian.wassalam.