Monday, January 19, 2009

PPSMI: Balada Burhan.. vs Aku Cari Damai Abadi

Ali Bukhari Amir

Majalah TUNAS CIPTA, JANUARI 2009, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini menyiarkan wawancara bersama saya berhubung suatu isu yang tidak dapat saya pastikan apakah tajuk besarnya. Ini kerana, saya masih belum menatap majalah itu.

Saya mendapat tahu tersiarnya wawancara bersama saya itu gara-gara seorang sahabat, Nizam Shah (samaran), seorang guru di Pahang telah mengirimkan pesanan ringkasnya lewat telefon bimbit. Beliau yang terawal memaklumkan hal itu kepada saya.

"Tahniah.. kerana dah jadi selebriti!" kata beliau. Jujurnya saya dengan rendah diri memberitahu, bahawa saya bimbang nanti dituduh riyak dan membanggakan diri pula.

Harap tuan-tuan sidang pembaca janganlah menganggapnya sedemikian pula. Bukan saya mahu fokuskan hasil temuramah itu, melainkan mahu meriwayatkan kisah menentang PPSMI lewat puisi.

Kata Usman Awang melalui puisinya kerana mengenang kematian Dato' Onn Jaafar - kenapa dia menggunakan puisi, ini kerana puisi itu langsung cepat membawakan makna dan pesan kepada para pembaca. Bermaksud, penentangan melalui puisi ini jauh lebih cepat kesannya berbanding cerpen dan novel. Itu andaian awal dan tanggapan peribadi saya yang mungkin salah.

Riwayat dan kisah bagaimana majalah ini menemuramah saya ini terlalu panjang. Tetapi, untuk meringkaskan cerita, biarlah saya ringkaskan begini sahaja.

Sebenarnya, saya mahu meriwayatkan suatu kisah kepada sidang pembaca berhubung getaran perasaan seorang anak muda di kota raya yang insaf terhadap nasib bahasa ibundanya yang diperjudikan lalu diperhinakan oleh pemimpin daripada kalangan bangsanya sendiri. Dan, hal itu terkait rapat dengan PPSMI.

Nama anak muda itu ialah Burhan. Maka, saya judulkan puisi itu sebagai Balada Burhan Di Kota Raya..

Tuhan
namaku Burhan,
munajat balada bahasaku ini mohon mereka dengarkan..

Warna-warni bahasa diraut,
dari bilah-bilah lidah kabilah Khalifah,
untuk membezakan insan dan haiwan,
bumbung bahasa inilah tempat kita bernaung,
dari bahang penindasan dan panas terik penjajahan,
saat hujan merdeka lebat mengairi tanah leluhur,
tetunas bangsa tumbuh menggalas amanah bahasa,
petualang penjajah lari dalam ribut amarah menggulung,
saat kesedaran bahasa bersemayam di hati kita,
kini wewenang kuasa tidak janjikan apa-apa,
untuk nyalakan obor keadilan dengan nafas bahasa..

Bangsa kita menggenggam segunung kuasa,
mampu merombak suasana yang lebih gemilang,
namun ada yang ghairah memilih celaka,
demi mengkhatam riwayat bangsanya esok lusa,
dengan hak berbahasa yang dinafikan,
untuk anak kecil bertatih bicara melaluinya.

Jiwa merdeka ungkaplah kata berani,
kerana mungkin yang tertinggal nanti,
adalah sisa-sisa dan puing-puing bahasa,
daripada runtuhan bangsa hari ini,
yang bertakhta di puncak kuasa,
mungkin bebas dari hukuman dosa,
mungkin lolos dari jaring hukuman kita,
mungkin juga sempat lari dari kumat-kamit
jampi mantera sumpah seranah menyala
yang membusung di hati kita,
kerana kita ini kononnya mudah lupa.
Anak yang lahir dari kekontangan hikmah,
ialah sekam berbusa membenih dari rahimmu,
hembus dan tiupkan azimat pengetahuan,
api sekam itu terus membara dan ternyala,
sendirinya nanti memegang panji janji dan obor bahasa.

Kepada yang terlontar di bumbung kuasa,
timbang sukat nafas bahasa yang kian nazak,
kerana segunung hati rakyat menyala merah,
di remang senja kiamat itu mereka berteriak!
"pekung bahasa bernanah itu berdarah kembali,
palingkan wajah ke lautan amarah jika berani,
jangan cuma mengukir kata memahat janji,
jantung hati kami dicicah lapah,
yang tinggal hanya luka di parut bahasa,
dirobek tangan rakus menggenggam akta."

Ledakkan api amarah di ruang terbuka,
biar terjulang keramat kata di angkasa kita,
biar diketahui rakyat dunia sejagat raya,
terbakarnya hutan rimba bahasa kita,
tak betah diredakan dalam kedinginan pujuk rayu,
oleh renjisan pidato kepuraan saban minggu.

Guntur pidato yang bergema dari langit keangkuhan,
telah hanguskan jutaan perasaan rumput kehijauan,
ayuh bicara dalam bahasa kayangan,
biar seribu tahun guntur menjerit,
biar seribu tahun kilat menikam bumi,
rumput tetap utuh dalam hijaunya,
biar berdentum guruh di langit,
bumi tak hancur sebelum kiamat.

Jika hari ini kita mati,
maka dari darah mengalir basah,
jadikanlah dakwat merah,
dari ranting rangka yang patah,
kutiplah ia sebagai pena,
lakar sejarah, ukir sirah perjuangan bangsa,
demi menyawakan roh bahasa kali kedua.

Mari labuhkan derita bahasa ini ke dermaga jiwa,
atau kita lompati bumbung madrasah bahasa,
untuk menjerut kecongkakan di langit tua.

Tuhan,
namaku Burhan,
aku mungkin gagal menyampaikan pesan,
kepada yang pongah, ahmak dan keras kemahuan,
yang memajak gadai bahasanya bagaikan judi pertaruhan.
9.16 pagi / 030206, Kuala Lumpur
Sekolah Pemikiran Kg. Baru.

Sekian.. tamat puisi Balada Burhan Di Kota Raya..

Fikrah batil
Saya rasa geram kepada Tun Mahathir. Tetapi, kegeraman dan garangan saya itu terus memuncak apabila Abdullah Ahmad Badawi dengan jenama Islam Hadhari beliau, telah meneruskan PPSMI ini.

Kata Abdullah, untuk melaksanakan Islam Hadhari, kerajaan akan meneruskan dasar PPSMI. Tambah juak-juak Abdullah yang mendokong PPSMI, dasar tersebut tiada masalahnya di sisi Islam Hadhari.

"Islam Hadhari mengangkat martabat umat melalui dasar PPSMI.." kata seorang ahli Umno yang 'beriman' dengan 'firman' Abdullah.

Walaupun berulangkali saya mentasykil beliau penerangan demi penerangan, dan walau saya berkali-kali membayankan penjelasan demi penjelasan, 'minda projek' ahli Umno ini sungguh tebal, kebal dan bebal daripada serangan liar lewat kata-kata nista saya ini. Tegar juga dia dalam mempertahan dasar PPSMI itu.

"Kepala hotak hangpa berjambul!" demikian kata-kata keramat terakhir yang menyinggah ke cuping telinganya.

Maka, geram saya kepada fikrah batil Abdullah Ahmad Badawi, Tun Mahathir dan Hishammuddin Tun Hussein inilah saya humban di atas sehelai kertas untuk dijadikan puisi guna melawan puisi Abdullah, Aku Mencari Damai Abadi.

Kenapakah mereka yang menyokong Abdullah ini tidak boleh membuka fikiran dan melapangkan dada untuk seketika, memahami hujah-hujah kami?

Oleh kerana, tiada ruang untuk berhujah secara rasional, maka orang akan tergerak menyanggahnya secara emosional pula.

Jangan marah.. kerana semua ahli-ahli akademik dan pensyarah selama ini cuba memujuk dan berbincang secara baik. Tapi, mereka seperti dipermain-mainkan pula perasaan mereka secara tidak terhormat.

Syahadan, itulah puisi kali pertama saya hantar untuk dipertandingkan. Ketika hari terakhir ditutup pencalonan, peti suratnya sudah melimpah keluar.

Saya tak yakin akan menang. Pulang ke rumah, saya berdoa kepada Tuhan, semoga ia menang dan bolehlah ia dipandang terhormat kerana dipilih DBP sendiri. Syukur, puisi itu berhasil meraih tempat kedua dalam sayembara itu.

Saya berjanji dan bernazar. Jika menang, saya akan hantar puisi itu kepada Abdullah sebagai pengajaran kepada beliau, itu pun kalau Abdullah bersungguh-sungguh menerima pelajaran. Saya gembira kerana jawatankuasa pemilihan telah meluluskan penggunaan ungkapan 'ahmak' dalam perenggan terakhir puisi tersebut.

'Ahmak' adalah ungkapan Arab, bermaksud bodoh dan dungu. Rasa puas hati juga apabila menggunakan ungkapan yang keras begitu dan pihak DBP tiada masalah dalam meluluskannya. Kini, puisi itu tersiar dalam himpunan antolongi cerpen dan puisi bertajuk Di Tengah Arus, terbitan DBP sendiri.

Syahadan, inilah salah satu cara untuk menunaikan perjanjian saya dengan Tuhan dan satu cara untuk membayar nazar yang sudah terbengkalai sejak sekian lama. Semoga Tuhan menerima cara, kaedah membayar nazar dan menunaikan perjanjian yang lalu.

Berkat puisi Balada Burhan Di Kota Raya itu, saya terpilih untuk ke Samarinda bersama Nizam Shah dan seorang pegawai DBP Saif untuk mewakili Malaysia dalam acara puisi ke Samarinda, Kalimantan Timur pada Julai sehingga Ogos, 2007.

Banyak pengalaman kerohanian yang ditempuh di samping mengenal rentas dan resam budaya Nusantara yang berbilang.

Sejak itu, saya rasa yakin bahawa setiap orang yang setia beramal dengan apa jua cara untuk menuju ke arah usaha memansuhkan PPSMI ini, maka dia akan dipelihara, dilindungi dan diberkati hidupnya oleh Tuhan dan diberikan anugerah, ganjaran yang tidak disangka oleh mereka.

Cuma, apa yang perlu tinggal kepada mereka ialah, keyakinan dan tawakal yang kuat kepada Tuhan.

Seperkara lagi, kalau berkarya, kita mestilah menjadikan karya dan seni itu untuk masyarakat dan bukan sekadar suka-suka.

Iltizam Pakatan Rakyat melawan PPSMI
15 Januari lalu, Pakatan Rakyat dengan semangat dan iltizam yang tinggi telah menunjukkan sikap dan pendiriannya untuk setia memansuhkan PPSMI sekiranya mereka mendapat mandat pemerintahan daripada rakyat.
(Pakatan Rakyat beriltizam memansuhkan PPSMI)
Saya berbangga dengan sikap dan pendirian Pakatan Rakyat ini. Pada 27 Disember tahun lalu, tersiar sebuah surat terbuka saya kepada kaum ibu bapa dan guru-guru di Kuala Terengganu berhubung isu PPSMI ini. Agak-agaknya ia terlalu panjang dan barangkali ia tidak menarik minat orang untuk membacanya (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18500&Itemid=78).

Syukur alhamdulillah, Pakatan Rakyat telah menang di Parlimen Kuala Terengganu merebutkan kerusi yang disandang oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Razali Ismail, penyokong dasar PPSMI yang dianuti oleh Hishammuddin Tun Hussein. Kalaulah Umno mahu melihat daripada sudut ini, syukur alhamdulillah.

Tapi, saya dan rakan-rakan tidak fikir Umno melihat isyarat ini sebagai penolakan rakyat ke atas dasar PPSMI tersebut. Umno menghadapi sindrom, 'lima perut tiga serangkai, buta perut tak dak akai'. Kebutaan mata hati ini menyusahkan rakyat kita.

Skrip jawapan Umno, olahan bicaranya seperti telah hadam dalam tali perut kita. Dan cara Umno berdalih menutup pekung malunya telah mendarah daging dalam jiwa kita pula.

Sebagai yang dijangka, Umno akan berkata..

Pertama, kekalahan ini akhirnya membuktikan kepada rakyat bahawa kita memang demokratik. (Jika Umno menang, ayatnya jadi lain pula)

Kedua, kekalahan ini menutup dakwaan pihak pembangkang bahawa ada pengundi hantu. (Jika ada pengundi hantu, nescaya kami akan menang).

Jadi, inilah antara ayat-ayat yang termasyhur diungkapkan setakat ini. Saya tidak perlu menulis hal ini. Saudara boleh teliti sendiri cara Najib menjawab serta gaya Pak Lah memberi ulasan berhubung kekalahan mereka di Kuala Terengganu itu. Sama sahaja 'pattern' jawapannya. Tak sedikit terlintas bahawa rakyat mungkin menolak dasar PPSMI, ISA, Auku dan lain-lain.

Tak apalah.. sindrom 'limau purut tiga serangkai..' ini, memang panjanglah jika mahu diperihalkan ulasannya. Tapi, kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi melainkan terus berusaha dan berusaha menyedarkan Umno daripada mimpi indah mereka.

Sekian untuk kali ini.. kita berjumpa pada waktu yang lain pula..

12:11 a.m, 20 Januari
Sekolah Pemikiran Kg Baru


Sebarang ulasan anda boleh dimajukan kepada ibnuamir@yahoo.com.

Lain-lain pautan..

1. (Dua generasi penulis kuasai Sayembara Mengarang DBP)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0301&pub=utusan_malaysia&sec=sastera&pg=sa_02.htm&arc=hive&arc=hive

2. (PPSMI: Seruan buat ibu bapa, guru-guru di Parlimen Kuala Terengganu)
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18500&Itemid=78

3. (Takkan Bahasa Melayu Hilang Di Dunia!) http://bmppsmi.blogspot.com/.