Oleh H FANSURI
"Dalam mesyuarat hari tu, keputusan sama ada mahu berdemo atau tidak, hanya 50-50 sahaja, tiba-tiba Puad Zarkasyi beri kata putus, iaitu kita semua perlu demo untuk bantu dia," kata Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman ketika menceritakan pengalamannya yang lalu.
Zaman-zaman itu adalah antara zaman yang mencabar ketika beliau menjadi wartawan Harakah dengan gaji sekitar RM400 kurang lebih. Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) dan hal itu menyebabkan wujudnya desakan untuk membela beliau termasuk beberapa orang teman lagi.
Dia yang kami temui petang itu, berwajah lusuh dengan kerut wajahnya yang begitu rusuh. Tapi, rusuh di hati mungkin meningkat dua kali lipat, malah barangkali tiga kali ganda!
Selesai bertempur dengan tarikh ajal akhbar Harakah pada Selasa malam Rabu, maka sepanjang Rabu itulah hari-hari yang agak santai untuk anak-anak muda ini berbual dengan Ahmad Lutfi.
Hilman dan Firdaus, kedua-duanya daripada Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) mahu menyerap himpunan pengalaman yang berserakan dalam kenangan Ahmad Lutfi.
Petang Rabu itu, ada acara Sesar (Sembang Santai Rabu) di Harakah. Namun, akhirnya pertemuan itu terus dilanjutkan ke Ampang kerana kedua-dua mereka mahu tahu perkembangan sejarah pergerakan pelajar Islam pada masa-masa yang lalu.
Pada mereka, mungkin pengarang akhbar itu mampu sedikit sebanyak memberikan imbuhan maklumat.
Akhirnya, selang tidak berapa lama, semangatnya pulih semula, lalu dia berhasil menghimpunkan tenaga baru ketika melambakkan kenangan lama kepada kami.
"Pernah suatu ketika, kami masuk rumah, dan ambil selipar masuk dalam rumah, selepas itu kami keluar ikut pintu belakang. Terpaksalah buat begitu sebagai suatu helah untuk kelirukan polis dan para pengawal," katanya ketika menceritakan pengalaman yang lalu.
Lalu, beliau mengalihkan kisah tentang seorang menteri pelajaran yang dijemput hadir ke Dewan Besar UTM Semarak. Kata beliau, ada kalangan pimpinan pelajar ketika itu yang meminta pimpinan kerajaan itu 'mengucap' semula.
"Dia berang, lalu dia berkata, "Mereka ini saya tahu, tidak ramai sangat, hanya ada 15 orang saja.
"Memang betul kami ada 15 orang saja, dalam keadaan sayap wanita tak ada langsung. Ini kerana, zaman itu peralihan kepimpinan ulamak, termasuk pergelutan politik yang hangat, menyebabkan tiada langsung penyertaan siswi dalam kumpulan kami sebab mereka takut," kata beliau lagi.
Menyentuh pembabitannya dalam peristiwa lalu, nampak jelas beliau terkilan kerana ada menteri menipu dalam Perhimpunan Agung Umno, dengan menyatakan bahawa tiada mahasiswa yang telah ditahan ISA, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.
"Menteri itu berkata, tuan-tuan nak percaya siapa? Nak percaya laporan Harakah atau saya selaku menteri pendidikan Umno?" tambah beliau.
Harakah ketika itu melaporkan Ahmad Lutfi ditahan ISA sedangkan menteri tersebut menafikannya. Mungkin, sengaja dia bercerita begitu sehingga menampakkan bahawa dia seolah-olah telah 'mencabar' kedua-dua pimpinan pelajar itu.
Pada Ahmad Lutfi, 15 orang siswa di UTM Semarak, dalam angka yang kecil mampu berbuat sesuatu di kampus berbanding kedudukan siswa hari ini yang jauh lebih ramai berbanding dahulu.
Lalu, hal itu dijawab Hilman dengan katanya - dalam kampus berlaku campurtangan yang sangat berleluasa.
"Sampaikan ada wakil NC dalam mesyurat Majlis Perwakilan Pelajar," katanya. Sementara Firdaus yang membuat kajian berhubung gerakan pelajar ghairah bertanyakan soalan demi soalan untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai penyelidikannya.
"Oh! Ya kah!?" Ahmad Lutfi kelihatan terperanjat apabila mengetahui situasi itu. Saya yang menonton bualan petang itu, makin tertekan dalam diam. Ada banyak kejadian buruk yang menimpa siswa mutakhir ini, tapi tidak sempat diluah secara terbuka.
Politik kampus memang pahit ditelan. Pahit maungnya mengalahkan hempedu. Ia membabitkan dendam, iri hati oleh kalangan TNC HEP ke atas siswa-siswa mereka sendiri.
Saya saksikan sendiri bagaimana suatu petang ketika hujan keras menimpa UM, kalangan siswa Akademi Pengajian Islam (Api) ini sedang bertempur dengan para pengawal di tepi tangga Perdana Siswa, bangunan yang menempatkan pejabat HEP itu.
Ada dendam yang saling terbuku di hati mereka ketika melihatkan kebejatan moral dalam kalangan pentadbir universiti hari ini. Teringat pula pepatah Mongolia yang menyatakan - "Kotoran di dalam hati lebih buruk daripada kotoran di atas pakaian."
Tetapi, untuk lebih adil, Hilman berkata juga - bahawa kenyataan pimpinan PR dan menteri BN lebih kurang sama sahaja apabila berlakunya desakan-desakan untuk melakukan rundingan.
"Kami pernah bincang. Susah juga mahu hantar memorandum. Dan, dalam pertemuan itu, apabila isu yuran kampus dinaikkan, hujah pihak kerajaan seperti bil air, api, minyak naik turut digunakan pihak pembangkang juga," kata beliau.
KEBEBASAN SUDUT PIDATO SEKADAR KOSMETIK
Manakala, dendam ke atas anak-anak muda berhaluan kiri ini sangat jelas, menjalar dalam kejadian sekatan ke atas sudut pidato mereka. Jika mahasiswa yang sehaluan dengan pegangan 'aqidah' politik kepartian HEP, maka pidato mereka akan diluluskan.
"Sudut Pidato di UKM tu, Khaled Nordin datang rasmi pagi, kami pun naik pidato petang itu, polis tiba-tiba terus datang minta kami hentikan.
"Akhirnya, universiti minta kami beri teks ucapan yang kami nak ucapkan nanti. Teks itu mesti diberi kepada mereka sekurang-kurangnya seminggu sebelum kami mahu berucap di sudut pidato itu," kata Hilman.
Saya termenung lagi. Kedudukan ini lebih kurang sama dengan kejadian
Berita Kampus di USM dahulu. Ada saja 'gate-keeper' yang mahu memantau penulisan di akhbar itu sebelum mahu disiarkan untuk bacaan warga kampus.
Beralih kepada isu debat dan pidato, Ahmad Lutfi teringat kisah Mahathir yang menyifatkan Malaysia adalah 'Negara Islam'. Dan hal itu mendapat sanggahan di pihak PAS. Ekoran itu, dokumen Negara Islam diterbitkan.
"Tapi, arwah Ustaz Fadhil Noor tidak mahu berdebat menggunakan dokumen Negara Islam itu kerana baginya lebih baik menggunakan peluru Umno sendiri seperti hal penyelewengan, rasuah dan hal-ehwal dalaman Umno sendiri.
"Ustaz Fadhil nampak lebih berhati-hati dengan penggunaan istilah Arab-Kafir Zimmi, Kafir Harbi," katanya sambil menghuraikan sisi terbaik berhubung teknik debat mantan Presiden PAS tersebut.
PENGAMAL MEDIA ALTERNATIF WAJIB BERSATU!
Menurut beliau, debat mencari kebenaran amat sukar disebabkan ada agamawan berhujah mengguna al-Quran dan hadis sehinggakan, jika ada sanggahan, maka penyanggah itu akan dilihat seperti menyanggah Al-Qur'an.
"Jadi, ulamak pembaharu yang nak buat perubahan dalam parti ini mesti hadam terlebih dahulu 'kitab' yang dipegang oleh ulamak pimpinan itu.
"Kalau agamawan itu pegang suatu kitab dan kita tolak hujah itu dengan menggunakan kitab lain, maka kita gagal," kata beliau.
Sebenarnya, menurut kacamata saya, debat dalam parti agama ini jauh lebih baik berbanding Umno yang ternyata menyimpan dendam dan memeram geram dalam diam disebabkan pimpinan partinya yang kurang berdebat dengan ahli-ahli bawahan.
Kata ahli bijak pandai moden, kebebasan adalah bidan kepada demokrasi. Apatah lagi, dengan cabaran zaman ini kebebasan akhbar yang meluncurkan debat-debat awam adalah suatu tuntutan yang sangat mendesak.
Penutupan, pemberhentian permit penerbitan akhbar tentu sahaja bakal mencatas segala polemik dan debat awam yang hidup segar, berkembang menghijau dalam masyarakat.
Jika kerajaan takut berdebat dengan rakyat, berikanlah ruang dan kesempatan kepada akhbar-akhbar di negara ini untuk menyusun debat dan polemik yang berterusan agar rakyat bebas melepaskan marah-marah sehingga wujudnya damai selepas terlepas bebanan kemarahan itu.
Banyak contoh kebaikan daripada debat terbuka ini. Rakyat semakin tenang selepas membuang bahang api dendam yang marak itu.
Mungkinkah akibat lama memendam rasa kerana tidak mahu membayar komisen kapal selam, akhirnya tumbuh dendam yang lama diperam dan akhirnya meletus tindakan tidak terkawal iaitu dengan membunuh Altantuya, model wanita Mongolia itu?
Pepatah Mongolia ada menyatakan, "Lebih baik bertengkar dengan sabar daripada damai pura-pura." - Sekolah Pemikiran Kg Baru.